RAKAMAN gambar tersebar di media sosial memaparkan Faisal selepas disimbah asid. FOTO tular media sosial
RAKAMAN gambar tersebar di media sosial memaparkan Faisal selepas disimbah asid. FOTO tular media sosial
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Individu itu memang sasarkan muka Faisal (Halim) tapi dia sempat elak. Kalau kena muka berisiko kena mata dan kemungkinan besar terus tamat karier dia."

Demikian reaksi sumber dalam nada amat sedih dan begitu kecewa selepas apa yang terjadi kepada pemain kebangsaan itu yang menjadi mangsa disimbah asid sehingga mengalami kecederaan agak teruk di sekitar bahagian belakang badannya.

Jelas sumber, apa yang terjadi kepada Faisal atau mesra dipanggil Mickey itu sudah pasti akan memberi kesan amat besar kepada kesihatan mentalnya untuk kembali bangkit daripada espisod hitam itu.

Namun begitu, katanya, keadaan mungkin akan menjadi lebih parah sekiranya simbahan asid yang dilakukan penyerang itu terkena kepada anak Faisal yang masih kecil.

"Individu itu memang sasarkan muka Faisal (Halim) tapi dia sempat elak. Kalau kena muka berisiko kena mata dan kemungkinan besar terus tamat karier dia. Andai terjadi perkara itu, mesti akan lebih menyedihkan Faisal.

"Mungkin Allah mahu lindung keluarga Faisal sebab anak dia tidak berada berdekatan dengan dia (semasa kejadian) dan isteri dia pula terkena sedikit percikan di tangan dan tidak pasti bagaimana status isteri Faisal tu.

"Individu yang menaiki motosikal dengan pakaian tutup muka itu juga sempat ucap 'good luck' sebelum simbah asid lalu pergi melarikan diri," kata sumber itu.

Terdahulu Arena Metro melaporkan bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan itu diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disimbah asid.

Khamis lalu, seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun dan didakwa kehilangan telefon bimbit dan dompet.

Namun begitu, insiden jenayah terhadap dua pemain kebangsaan yang berlaku dalam jarak masa yang dekat dipercayai tiada hubung kait.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 7:59 AM