BUKOVAZ (kanan) dilihat kecewa selepas lamarannya ditolak. FOTO AGENSI
BUKOVAZ (kanan) dilihat kecewa selepas lamarannya ditolak. FOTO AGENSI
Agensi

London: Seorang petarung MMA dihina di hadapan 20,000 peminat selepas dia melamar teman wanitanya sebaik tewas dalam pertarungan, namun lamarannya itu kemudian ditolak.

Kejadian itu dirakam hujung minggu lalu di kejohanan Clash of the Stars dekat Republik Czech yang menyaksikan petarung Czech, Lukas Bukovaz, melamar dengan berlutut selepas tewas dalam pertarungannya.

Wanita yang dilamarnya itu menutup wajahnya dengan tangan dalam keadaan malu ketika orang ramai bersorak.

"Berdasarkan kepada apa yang sudah berlaku, saya rasa mungkin tidak...tak mungkin," kata wanita itu menerusi mikrofon.

Sorakan 'boo' kemudian kedengaran dari orang ramai dan seorang lelaki di tepi gelanggang dilihat cuba mencurahkan air ke arah wanita itu.

Teman wanita Bukovaz kemudian menjelaskan kepada 20,000 peminat itu bahawa lelaki itu sudah menipunya dan mempunyai wanita lain.

Dalam klip yang kemudian dimuat naik ke akaun Instagramnya, Bukovaz menafikan tuduhan bahawa dia tidak setia.

Pengguna media sosial menyatakan simpati kepada petarung MMA itu selepas dimalukan dan menjadi viral.

"Kasihan lelaki itu," tulis seorang peminat di X.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 9:31 PM