HAIJAN Omar bersama Mickey pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC. -FOTO Syazwan Msar
HAIJAN Omar bersama Mickey pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC. -FOTO Syazwan Msar
Syazwan Msar


Shah Alam: Peguam Selangor FC, Haijan Omar mendedahkan bahawa sehingga kini pihak anak guamnya termasuk tonggak Harimau Malaya Faisal Halim tidak dimaklumkan berkaitan perkembangan siasatan insiden simbahan asid bulan lalu.

Haijan yang turut mewakili Faisal memaklumkan selain daripada kenyataan umum Polis, sehingga kini Selangor FC dan pemain itu tidak diberitahu perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan.

Beliau berkata, walaupun tiada perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa namun beliau percaya Polis sedang melakukan siasatan dengan terbaik dan mempunyai tahap profesionalisme untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan.

"Kami mempunyai keyakinan penuh Polis sedang melakukan siasatan dengan terbaik dan tahap profesionalisme tinggi dengan akhir saya percaya boleh mengheret pelaku.

"Amat jelas dan kami percaya ia adalah sesuai untuk di siasat di bawah kesalahan jenayah serius Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya atau Seksyen 307 atas percubaan membunuh membunuh. Saya percaya Polis adalah lebih pakar dan tahu apa yang sesuai untuk kes ini," katanya, katanya dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Selain itu, Haijan tidak akan berdiam diri apabila akan mewakili anak guamnya untuk mengetahui perkembangan terkini berkaitan siasatan kes simbahan asid itu.

"Dari semasa ke semasa kita akan sentiasa berhubung dengan pihak Polis untuk mengetahui perkembangan siasatan membabitkan kes itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:39 PM