Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Doakan kami sekeluarga kuat untuk menggalas tanggungjawab menjaga kedua-dua anak Allahyarham."

Demikian luah Suhada Khairuddin, 42, kakak kepada Suhana, 37 dan suami, Ridwan Effendy Yusof, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, semalam.

Suhada berkata, mereka sekeluarga akan berbincang dengan kedua-dua belah keluarga berhubung hak penjagaan dua anak Allahyarham.

"Di sebelah kami, ada lima beradik termasuk arwah Suhana dan sebelah arwah suami Suhana pula ada empat beradik.

"Jadi kami akan berbincang dengan keluarga pihak lelaki yang berasal dari Kedah berhubung penjagaan anak arwah. Saya mohon doa semoga kami sekeluarga kuat menerima ujian Allah ini.

"Kami sekeluarga masih terkejut memandangkan adik saya dan suaminya pergi secara tiba-tiba," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kedua-dua anak Allahyarham bersekolah berdekatan rumah ibunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong dan Sekolah Kebangsaan Mulong.

"Kedua-dua beradik itu sangat rapat dengan papa dan mamanya. Anak yang sulung, Qaisara Damia, 15, sangat terkesan kerana dia sudah besar.

"Insya-Allah, kedua-dua mereka akan tabah dan kuat," katanya.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah Suhana pada malam kelmarin bagi bertanyakan rawatan yang dibuatnya di Ipoh, Perak.

"Sebenarnya arwah Suhana dan suami ke Perak bagi membuat rawatan untuk anak dalam kandungannya memandangkan berdepan masalah air ketuban.

"Malam kelmarin, saya ada berhubung dengan arwah dan dia ceria seperti biasa. Saya hanya bertanyakan proses rawatan dan arwah memaklumkan semuanya berjalan lancar.

"Saya tidak sangka itulah perbualan terakhir saya dengan arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 12:36 PM
WANITA hamil anak kembar, Suhana dan suami Ridwan yang maut dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan pagi ini. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim.
WANITA hamil anak kembar, Suhana dan suami Ridwan yang maut dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan pagi ini. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim.