Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Saya reda dan menganggap kemalangan yang mengorbankan kedua ibu bapa (Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan Siti Faridaf Ahmad, 46) adalah ujian buat saya," kata Che Ku Izzuddin, 11.

Izzuddin kehilangan kedua-dua orang tuanya itu selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan bas di Kilometer 21.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, di sini, Jumaat lalu.

Menceritakan kejadian itu, Izzuddin berkata, dia sekeluarga dari di Seri Bandi, Kemaman, pulang ke rumah datuk dan neneknya di Felda Belara Khamis lalu, untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, pada pagi Jumaat kira-kira 8.30 pagi, kedua-dua orang tuanya itu bersama kakaknya, Che Ku Batrisya, 18, keluar ke sebuah pasar raya di daerah ini untuk membeli pakaian raya.

"Saya tidak ikut mereka kerana kelengkapan raya sudah cukup, tambahan pula ketika itu saya masih tidur. Menjelang tengah hari, saya dikejutkan dengan khabar duka apabila dimaklumkan ayah ibu dan kakak terbabit dalam kemalangan.

"Kejadian itu meragut nyawa kedua ibu bapa saya, manakala kakak cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya ditemui di rumahnya keluarganya di Felda Belara, di sini, hari ini.

Menurut Izzuddin, dia mengakui terkesan apabila kehilangan kedua-dua insan yang disayangi sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Begitu pun, Izzuddin bersyukur kerana ibu dan bapa saudara serta sepupu ada di sisi mengubat kesedihannya berikutan tragedi yang menimpa kedua-dua orang tuanya itu.

"Kampung (sebelah arwah) ibu tidak asing bagi saya kerana setiap kali cuti hujung minggu, arwah ibu yang juga jururawat di Klinik Kesihatan Seri Bandi, Kemaman, akan membawa saya pulang ke kampung, lagi pula arwah ayah bekerja di pelantar minyak, di Kemaman.

"Oleh sebab itu, saya begitu rapat dengan ibu dan bapa saudara. Sepupu juga rapat dengan saya kerana usia kami hampir sebaya," katanya.

Bapa saudaranya, Mohd Ayub Ahmad, 48, berkata, selepas berbincang bersama adik-beradik lain, kedua-dua anak arwah akan tinggal bersama mereka di Felda Belara.

"Di sini, masih ada emak saudara yang lain tinggal berdekatan selain sepupu yang sebaya usia Izzuddin dan memudahkan anak saudara saya itu untuk berkawan dan ke sekolah.

CHE Ku Izzuddin menunjukkan gambar kenangan bersama arwah ayah dan ibunya. FOTO Nazdy Harun
CHE Ku Izzuddin menunjukkan gambar kenangan bersama arwah ayah dan ibunya. FOTO Nazdy Harun

"Manakala kakak Izzuddin, Che Ku Batrisya, pula ketika usia kecilnya pernah menetap di sini ketika ayahnya bekerja di pelantar minyak manakala ibunya melanjutkan pelajaran.

"Jadi mereka tidak asing tinggal di sini, dan kedua-dua anak arwah adalah amanah buat kami sekeluarga untuk menjaganya," katanya.

Mengenai kehilangan arwah Che Ku Yusoff Ali, dia berkata, arwah ada menunjukkan kelainan ketika tiba dari Kemaman.

Katanya, ketika arwah tiba di kampung, arwah ada bersembang dengannya berkenaan kes-kes kemalangan yang berlaku sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

"Saya tidak menyangka perbualan itu petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya.

"Anak arwah (kakak kepada Izzuddin) kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kami adik-beradik akan menjaganya bersama Izzuddin seperti anak kami sendiri," katanya.

Susulan kejadian itu, pemandu bas ekspres, Nik Nordin Jusof, 51, yang terbabit dalam kemalangan itu disahkan meninggal dunia, kelmarin, ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 12:24 PM