Kuala Lumpur: Sehingga semalam, sejumlah 35,548 nyawa rakyat Malaysia terkorban sejak virus maut Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu. Angka yang terlalu berat untuk difikirkan dengan akal.
Tak terhitung jumlah air mata waris keluarga yang tumpah Aidilfitri ini tatkala mengenang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19.
Ada isteri kehilangan suami. Ada juga kematian isteri dan anak. Malah, tidak terbilang jumlah anak-anak yang kematian ibu dan bapa tercinta sepanjang pandemik melanda.
Duka lara pastinya lebih perit dirasai apabila Aidilfitri menjelma. Kesannya begitu mendalam pada emosi. Ini antara keperitan dikongsi waris mangsa- Covid-19 yang masih bergelut dengan erti Syawal.
Derita turut dirasai seorang remaja, Nur Hairieka Rodzi, 19, dan empat adik beradik lain selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
Dia kini bertanggungjawab menguruskan dua adik lelakinya, Muhammad Kheirzamani Rodzi, lapan tahun, Muhammad Haiqiel Rodzi, 14, dengan dibantu dua abangnya, Muhammad Hairie Rodzi, 21, dan Muhammad Haidir Rodzi, 24, serta neneknya, Faridah Md Shahar, 76, yang tinggal bersama mereka sekeluarga.
Nur Hairieka berkata, ayahnya, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada 31 Mei 2021 disusuli ibu, Nazita Idris, 45, pada 6 Jun tahun sama.
"Aidilfitri kali ini begitu sepi. Covid-19 meragut kasih dua ibu bapa kami tahun lalu, saya kini memikul tanggungjawab menjadi 'emak' kepada adik-adik selain perlu menjaga nenek yang semakin uzur.
"Persiapan Ramadan diteruskan mengikut kemampuan biarpun kami terasa sunyi tanpa orang tua. Kami terasa kehilangan kedua tonggak keluarga namun saya perlu kuat demi dua adik yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sunggala di sini.
Menurutnya, nenek mereka semakin uzur manakala kedua abang perlu bekerja mencari rezeki demi menyara keluarga.
Katanya, abang sulung, Muhammad Haidir baru berkahwin bulan lalu manakala Muhammad Hairie membantu rakan berniaga burger di bazar Ramadan.
"Saya baru sahaja diterima bekerja di Taska Pasti di sini, sebagai pembantu dengan gaji RM20 sehari pada waktu petang. Namun saya akan pastikan tugas memasak dan menyiapkan makanan untuk adik-adik dilakukan dahulu sebelum memulakan tugas di Taska Pasti Al-Ilmi, Sunggala di sini," katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila bapanya sempat membaiki rumah didiami demi keselesaan mereka sekeluarga.
"Persiapan baju raya kami sudah lakukan. Kami tidak teruja sangat kerana yang penting kami adik beradik menziarahi pusara kedua ibu bapa kami di pagi Aidilfitri," katanya.
Baju Melayu, kurung ungu pengubat rindu
Jempol: Hanya sepasang baju Melayu dan kurung berwarna ungu menjadi pengubat rindu dua beradik yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa serentak akibat Covid-19 tahun lalu.
Pakaian baju raya itu sempat dibelikan ibu bapa, Nurhaniesya, sembilan tahun dan Muhd Syahmil, 13, menjelang sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Namun siapa menyangka Covid-19 meragut kebahagiaan dua beradik itu apabila ibu, Hazliza Hassan dan bapa mereka, Sabiha Ibrahim dijangkiti Covid-19.
Ibu dua beradik itu terlebih dahulu mengadap Ilahi pada 14 Jun 2021 disusuli bapa mereka pada 27 Jun.
Muhd Syahmil berkata, baju raya pemberian ibu dan ayahnya masih elok disimpan dan akan dipakai semula pada Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, kesedihan amat dirasai apabila mereka dua beradik menjalani ibadah puasa pertama kali tanpa ibu dan ayah.
"Tiada lagi kemanisan saat indah kami dibawa ibu dan ayah membeli juadah di bazar Ramadan berhampiran kediaman kami di Felda Palong Tujuh," katanya.
Muhd Syahmil berkata, ketika arwah bapa dan ibunya masih ada, murtabak antara hidangan kegemaran dia dan adiknya ketika berbuka puasa.
"Perkara pertama akan kami lakukan di pagi raya nanti adalah menziarahi pusara arwah ayah dan ibu.
"Kami akan ke pusara dengan memakai baju Melayu dan kurung yang juga pembelian terakhir arwah ayah dan ibu," katanya.
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong Tujuh itu berkata, ketika ini nenek mereka, Salmah Abdul, 70, menjadi tempat mereka bermanja selepas ketiadaan kedua ibu bapa.
Katanya dia dan adik akan menjaga nenek yang tidak begitu sihat kerana mengalami sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama.
"Persiapan untuk hari raya pun dibuat ala kadar sahaja. Kami tidak mengharapkan baju baharu kerana tidak mahu menyusahkan nenek.
"Sedih memang tidak dapat diluahkan, ini kali pertama berpuasa dan sambut raya tanpa ibu bapa. Tetapi kami perlu kuat dan tabah menghadapi ujian ini, "katanya.
Sementara itu, Salmah berkata, dia akan tetap akan menjaga kedua-dua cucunya itu hingga akhir hayat.
"Mereka tidak banyak kerenah dan turut membantu melakukan kerja rumah. Saya ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bantuan persekolahan daripada Pusat Zakat Negeri Sembilan," katanya.
'Rindu kami sukar digambarkan'
Putrajaya: "Tiada lagi kelibat ayah di dapur menyediakan ketupat serta rendang kurma setiap kali raya. Rindu kami pada ayah sukar dizahirkan dengan kata-kata," ujar Normaizan Mohd Arif, 49.
Menurutnya, Covid-19 meragut nyawa bapa tirinya, Allahyarham Raja Hassan Raja Begap, 94, yang meninggal dunia pada 14 Mac lalu di Hospital Pulau Pinang.
"Sedih dan pilu sukar diungkapkan. Kami rindukan ayah yang sering memasak makanan untuk kami adik-beradik.
"Ayah sebelum ini tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama adik-beradik lain sebelum berpindah ke Bayan Lepas, Pulau Pinang awal Januari lalu," katanya.
Namun dia mengajak ayahnya tinggal bersama kerana penyakit jantung, paru-paru berair, darah tinggi serta kencing manis dihidapi ayahnya yang memerlukan pemantauan rapi.
"Namun pada pagi 12 Mac lalu, paras oksigen ayah turun mendadak sebelum dia dan suami, Mohd Amin Saad, 55, segera membawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu ayah disahkan positif Covid-19.
"Selepas sehari dirawat di hospital, ayah meninggal dunia. Saya tak sangka ayah pergi mengejut berikutan keadaannya stabil sebelum itu," katanya.
Sebelum ini kami turut kehilangan ibu, Daing Azizah Daing Hussien yang meninggal dunia pada 2006 akibat sakit jantung
Normaizan berkata, kebiasaannya ayah paling gembira menyediakan hidangan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri kerana dia pandai memasak. Biasanya ayah tidak membenarkan anak dan menantu membantunya di dapur.
"Antara masakan berbuka puasa yang kerap dimasak ayah adalah kuih seri muka, ayam percik dan hidangan ikan masin sepat.
"Ketika menjelang Syawal, ayah paling sibuk menyediakan ketupat dan masakan rendang kurma untuk kami sekeluarga. Seringkali ayah akan menyuruh saya memasak kuah kacang kerana itu hidangan kegemarannya," katanya.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri kali ini pastinya membuat dia dan adik beradik lain sebak mengingatkan arwah bapanya yang sudah tiada.
Segalanya kini hanya tinggal dalam memori
Putrajaya: "Saya hilang suara dan menangis sebaik mengetahui suami meninggal dunia akibat Covid-19 ketika itu. Terlalu sedih kerana tidak dapat bersamanya pada saat akhir," ujar Aiza Syafinaz Shahak, 36, isteri kepada Allahyarham Inspektor Mohd Fairos Saberon, 36.
Menurutnya, Ramadan dan Syawal kali ini dirasai cukup berbeza selepas suami menghembuskan nafas terakhir pada 26 Mac 2020.
"Suami meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala saya disahkan positif Covid-19 empat hari selepas suami meninggal dunia.
"Ketika itu segalanya 'gelap' selepas saya kehilangannya. Sukar untuk melupakannya apatah untuk menyambut Aidilfitri tanpa dia di sisi.
"Ketika ini saya masih terkenangkan makanan kegemaran Fairos iaitu ikan kembung sambal yang disajikan ketika berbuka puasa atau sewaktu bersahur.
"Arwah juga gemarkan masakan asam pedas ikan Terubuk dan ketupat palas. Saya akan sediakan makanan kegemarannya ketika hari raya sebelum ini," katanya.
Menurutnya, kasih sayang arwah pada anak yatim begitu tinggi apabila kerap berbuka puasa dan solat Tarawih di Rumah Kebajikan Titian Kaseh (RTK) Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur ketika Ramadan.
"Aktiviti itu masih saya teruskan ketika bulan Ramadan. Dengan cara itu, hati saya lebih tenang apabila mengingatkan nostalgia kami berdua.
"Saya akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Johor dan menganggap apa yang berlaku sudah ditakdirkan Ilahi.
"Saya masih simpan baju raya arwah suami untuk dijadikan kenang-kenangan dan melepaskan kerinduan pada suami," katanya.