Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Saya nak mama, saya nak papa."

Demikian rintihan berulang kali Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, selepas pengebumian bapanya Ridwan Effendy Yusof, 43, dan ibunya Suhana Khairuddin, 37, selesai dilakukan, pagi tadi.

Pasangan suami isteri terbabit maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, semalam.

Qaisara Damia, anak sulung daripada dua beradik itu tidak dapat menahan kesedihan hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga, manakala adiknya, Akid Darwisy, 9, dilihat tenang.

Keadaan dua beradik itu mengundang suasana sebak dan orang ramai yang berada di tanah perkuburan turut mengalir air mata mendengar rintihan anak allahyarham.

Terdahulu, jenazah wanita hamil anak kembar dan suami itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung, di sini, pada 9.30 pagi tadi.

Upacara pengebumian pasangan berkenaan diuruskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seramai 300 orang hadir termasuk kedua-dua keluarga dan kenalan Allahyarham pada upacara pengebumian berkenaan.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi semalam, Ridwan Effendy yang juga anggota tentera dan isterinya maut di tempat kejadian, manakala dua anaknya cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 10:59 AM
Anak pasangan suami isteri yang maut kemalangan, Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, tidak dapat menahan sebak ketika berada di pusara kedua ibu bapanya selepas urusan pengebumian selesai dilakukan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Anak pasangan suami isteri yang maut kemalangan, Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, tidak dapat menahan sebak ketika berada di pusara kedua ibu bapanya selepas urusan pengebumian selesai dilakukan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim