PASANGAN suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga. FOTO RAMLI IBRAHIM
PASANGAN suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, Gua Musang, apabila pasangan suami isteri yang maut kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, dikebumikan malam ini.

Allahyarham Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, dikebumikan dalam satu liang lahad jam 8 malam.

Pengebumian pasangan itu dihadiri lebih 100 individu termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan jiran pasangan berkenaan.

Anak sulung pasangan itu, Mohamad Izat Danial, 23, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan anak kedua, Mohamad Syakir Aiman, 18, kelihatan sedih dengan kejadian itu.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhammad, 43, maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, jam 4.50 pagi.

Pasangan terbabit menaiki kenderaan bersama tiga anak mereka, Mohamad Faris Faisal, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, yang cedera serta menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Manakala, isteri dan lapan anak Zulfaizan mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Gua Musang serta sudah dibenarkan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 10:49 PM