TAK tutup pintu hati untuk calon pasangan hidup.
TAK tutup pintu hati untuk calon pasangan hidup.
Norhayati Nordin


TUJUH tahun berstatus 'duda' sejak Oktober 2017, penyanyi dan komposer lagu nasyid serta kerohanian, Hafiz Hamidun, 40, tidak menafikan sehingga kini dia sering ditanya mengenai pengganti atau teman baharu dalam hidupnya.

Hafiz juga ketika ini membesarkan seorang anak angkat lelaki, Hamdee Hafiz yang berusia empat tahun. Secara tidak langsung, apakah mungkin kanak-kanak itu mendambakan kasih sayang seorang ibu?

Hafiz berkata, dia memahami situasi dirinya yang perlu berhadapan soalan berbaur peribadi daripada pelbagai pihak termasuk peminat yang ambil berat serta ingin tahu.

"Dulu ketika belum berkahwin, orang akan tanya saya bila nak ada pasangan? kemudian saya bercerai dan ambil pula anak angkat, jadi ada juga yang tanya dah tak nak berkahwin semula ke? Tapi, saya okay saja.

"Tak sedikit pun saya ada rasa marah dan rimas dengan pertanyaan berkaitan peribadi itu. Malah, saya juga sebenarnya tidak pernah menutup pintu hati untuk bercinta, cuma sekarang ini ada kelainannya.

"Apa yang penting, saya yang kena gembira dulu. Saya kena ada rasa itu (gembira). Sebab, apa-apa yang saya buat sekarang ini, kalau saya sendiri tidak gembira, ia tak akan menjadi.

'Misalnya, Hamdee juga sekarang sudah berusia empat tahun dan fokus utama saya memanglah kepada dia. Ini kerana Hamdee dah mula bersekolah, belajar macam-macam dan saya sangat perlu beri tumpuan untuk mendidik dia," katanya.

Siapa yang tidak mahu ada pasangan hidup. Namun, kalau dia nak membina perhubungan dengan seorang wanita, kena ambil kira dan menilai banyak perkara termasuk penerimaan wanita itu terhadap Hamdee.

"Begitu juga, saya pun kena tengok Hamdee sama ada dia boleh terima dan selesa dengan wanita berkenaan atau tidak. Selain itu, ibu bapa dan juga adik-beradik saya pun boleh menerimanya (calon pasangan) dengan baik.

"Dalam ikatan perkahwinan ini, bukan membabitkan saya dan wanita dipilih itu saja, tetapi bagaimana jalinan hubungan kami dengan semua ahli keluarga masing-masing. Itu sangat perlu diutamakan," katanya.

Ditanya juga apakah Hamdee pernah bertanya mengenai ibu, Hafiz berkata, tidak pernah lagi kerana kasih sayang diterima anaknya itu dalam keluarga sangat melimpah-ruah apabila semua adik- beradiknya membiasakan mereka dipanggil ibu dan ayah.

"Hamdee bukan saja ada abi (bapa), namun dia juga ada ibu, ayah, papa, mama, mommy, daddy, ummi iaitu panggilan yang sudah dibiasakan oleh adik-beradik saya kepadanya. Kami tidak perkenalkan dia memanggil pakcik dan makcik dalam keluarga.

"Jadi, dia (Hamdee) memang dah tahu ada ramai ayah dan ibu sayang kepadanya. Kasih sayang kami semua kepada anak saya, Hamdee sangat ikhlas dan semula jadi. Oleh itu, setakat ini Hamdee tidak berasa kekurangan kasih sayang.

"Sebagai bapa yang menjaganya, saya juga memang tidak putus berdoa kepada Allah agar memberi terbaik buat Hamdee. Saya sangat bersyukur Hamdee hadir dalam kehidupan saya serta keluarga. Apatah lagi, dia amat petah bercakap," katanya.

Menurut Hafiz, dia juga kini semakin memahami tanggungjawab seorang bapa dan selalu menghabiskan banyak masa bersama anak, yang mana katanya, dulu dia lebih mengutamakan urusan kerja.

"Saya pernah berasa tidak puas hati dulu kalau ada pekerja saya yang mahu balik rumah awal untuk ambil anak. Tapi, sekarang saya pula selalu ingatkan mereka agar cepat siapkan kerja untuk kami pulang menjemput anak dari sekolah," katanya.

Album baharu 10 lagu

Muncul dengan Konsert Dikir Zikir yang mendapat sambutan baik penonton walaupun kali pertama dipentaskan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 3 Mei lalu, Hafiz akui amat bersyukur.

Katanya, dia tidak menyangka konsert bertemakan hiburan kerohanian itu dihadiri kira-kira 1,000 penonton, meskipun persembahan nyanyiannya menggabungkan alunan zikir dan dikir barat.

"Selepas konsert itu, saya kini masih di dalam proses menyiapkan album terbaru yang memuatkan 10 lagu nasyid dan kerohanian. Ia masih dalam proses rakaman.

"Saya nak cuba siapkan tahun ini juga, termasuk dapat melancarkannya segera. Ini kerana, ia (album) sangat menarik sebab bakal diterbitkan oleh syarikat rakaman tempatan bertaraf antarabangsa yang saya akan tandatangan kontrak dengannya.

"Cuma, nama syarikat rakaman itu saya kena rahsiakan dulu. Harapan saya agar lagu-lagu dalam album baharu itu nanti dapat dihasilkan juga dalam beberapa bahasa lain kerana ingin tembusi pasaran luar negara," katanya.

Hafiz berkata, dia memilih untuk terbitkan 10 buah lagu dalam album barunya itu kerana mengutamakan kepuasan diri sendiri serta mahu memberi pilhan lagu yang banyak buat pendengar memilih kerana menyifatkan ia akan rasa lebih berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 6:00 AM