ERRA gementar masuk studio. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
ERRA gementar masuk studio. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
Norhayati Nordin

MESKIPUN masih aktif berlakon drama dan filem, itu tidak bermakna primadona filem Melayu Erra Fazira sudah melupakan bidang nyanyian.

Seperti lakonan, nyanyian juga sudah sebati dengan dirinya yang pernah popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara, Jendela Hati, Pasrah dan banyak lagi.

Berbicara mengenai nyanyian, Erra 45, berkata, dia masih menerima undangan persembahan biarpun tidak sebanyak dulu.

“Jika tiada aral, saya akan tampil dengan lagu baru berjudul Menangkah Cinta ciptaan penyanyi dan komposert Hafiz Hamidun, manakala lirik oleh Iman Imran.

“Lagu itu mungkin dilancarkan sekitar Syawal nanti dan semoga sambutan baik diterima daripada pendengar muzik masa kini,” katanya.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia tidak akan terburu-buru kerana belajar daripada pengalaman lalu.

Mengakui gementar apabila berpeluang kembali ke studio rakaman, Erra berkata, dia mengambil masa sebulan untuk melakukan persediaan.

“Kali terakhir saya hasilkan album 10 tahun lalu. Selepas itu, saya hanya muncul dengan single untuk keseronokan diri.

“Malah, saya juga pernah merakamkan lagu duet bersama rakan baik, Datin Seri Umie Aida. Ia sekadar suka-suka dan minat.

“Kini, saya sangat teruja untuk kembali dengan lagu baru,” katanya.

KALI terakhir Erra hasilkan album ialah pada 10 tahun lalu.
KALI terakhir Erra hasilkan album ialah pada 10 tahun lalu.

Hasrat bintang utama filem Sembilu itu muncul dengan single baru nampak bersungguh apabila dia bernaung di bawah syarikat pengurusan Mind Order Sdn Bhd.

“Apabila ada pihak membantu menguruskan kerjaya, saya jadi lebih yakin untuk tampil dengan lagu baru.

“Menariknya, lagu baru saya ini liriknya menjurus ke arah kerohanian. Ia dirasakan sesuai dengan situasi dan usia saya,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini karier lakonan, Erra berkata, dia terbabit dengan penggambaran filem Wangi dan drama bersiri Gerak Khas.

Beralih kisah peribadi, Erra selesa menikmati hidup solo dan berstatus ibu tunggal. Dia juga lebih selesa menjalin persahabatan.

Katanya, sebagai wanita matang, dia tidak perlu mencanang kisah cinta seperti di zaman persekolahan.

“Saya ikut sahaja aturan takdir. Setakat ini saya bahagia dan tiada apa yang perlu dikeluhkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:00 AM