HAFIZ tetapkan syarat 'bakal isteri' kena terima dia, keluarga dan anak angkat, Hamdee.
HAFIZ tetapkan syarat 'bakal isteri' kena terima dia, keluarga dan anak angkat, Hamdee.
Zaara Talita


KEGAGALAN dalam perkahwinan lalu yang pernah dialami, nyata tidak menghalang penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun untuk menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik.

Hafiz meluahkan keterujaan dengan berkongsi perkembangan anak angkatnya, Hamdee Abdul Hafiz yang kini dapat mengenal huruf dan abjad biarpun usia baharu mencecah setahun tujuh bulan.

"Hamdee bukan saja dijaga saya malah, turut dipantau kedua ibu bapa saya. Walaupun baharu berusia setahun tujuh bulan, namun dia sudah dapat membaca ABC dan mengenal nombor 1 sehingga 10.

"Saya berterima kasih kepada ibu yang juga pernah berkhidmat sebagai guru besar kerana dia yang banyak mendidik Hamdee. Malah, saya juga selesa memastikan Hamdee juga tidak terdedah dengan gajet untuk tempoh yang terlalu lama.

"Membesar dalam era pandemik, pada awalnya Hamdee takut untuk berada di tempat yang ramai orang seperti pusat membeli-belah. Namun, saya bersyukur semakin lama dia semakin dapat menyesuaikan diri," katanya.

Biarpun kisah cintanya pernah kecundang di tengah jalan, episod hitam itu tidak membuatkan

Hafiz serik. Malah, dia bersikap terbuka andai dipertemukan jodoh dengan mana-mana wanita pada masa depan.

Namun, begitu terdapat syarat yang ditetapkan Hafiz buat bakal isterinya. Selain menerima Hafiz dan keluarga, bakal isteri juga haruslah sedia menerima anak angkatnya, Hamdee dengan hati terbuka.

"Sekarang bukan hanya terima saya saja, tetapi Hamdee juga. Harus tahu Hamdee lahir dan membesar dalam keadaan yang bagaimana kerana dia mempunyai sejarah tersendiri.

HAFIZ bersyukur Hamdee membesar dengan baik dan penuh kasih sayang.
HAFIZ bersyukur Hamdee membesar dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Keluarga saya sudah tentu mengenalinya daripada kecil. Jadi, kalau ada orang mahu berkahwin dengan saya dan mana tahu kalau ada jodoh, dia (wanita ) harus terima saya, keluarga, dan paling penting Hamdee," katanya.

Dalam pada itu, selepas 10 tahun aktif dalam kerjaya seni, Hafiz muncul dengan buah tangan terbaharu iaitu Zikir Terapi Acapella yang juga album studio kesembilannya.

Album berkenaan merupakan nafas baharu daripada album Zikir Terapi Diri yang dilancarkan pada 2011 dan sudah terjual lebih 1.5 juta unit.

"Perbezaan yang jelas dalam album terbaharu ini adalah lebih kepada versi vokal berbanding sebelum ini album zikir yang mempunyai muzik.

"Semuanya sama dengan album yang pernah dikeluarkan pada 2011 lalu, cuma vokal diangkat sebagai perkara utama. Hal ini kerana, terdapat negara di Timur Tengah yang tidak mendengar muzik jadi album ini memang sesuai untuk pasaran di sana dan Afrika Utara," jelasnya.

Selain album secara digital, Hafiz akan menerbitkan versi cakera padat (CD) secara terhad dan eksklusif yang akan dijual menerusi Shopee. Video muzik dari album ini juga akan mula dikeluarkan seiring dengan pengedaran digital di YouTube.

Album Zikir Terapi Acapella diterbitkan sepenuhnya oleh Hafiz di bawah penerbitan label miliknya, Arteffects yang menjalin kerjasama dengan Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:20 AM