Lah bersama anaknya, Mohd Adam yang menghidap autism ringan.
Lah bersama anaknya, Mohd Adam yang menghidap autism ringan.
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Komposer dan penyanyi, Lah Ahmad menyifatkan cinta dan kasih sayang penting terus dipupuk dalam keluarga supaya institusi kekeluargaan yang dibina pasangan suami isteri dapat bertahan dan tidak berakhir di tengah jalan.

Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad berkata, sebagai suami dan bapa, dia mendapati pentingnya cinta dipupuk mekar di dalam rumah dulu agar anak-anak yang melihat dapat membesar dalam suasana penuh kasih sayang.

"Karakter anak-anak yang berada dalam suasana bahagia dan sebaliknya, kita dapat lihat daripada wajah mereka. Kita akan kenal tengok muka anak-anak yang bermasalah itu.

"Saya pun ada seorang anak yang menghidap autisme ringan iaitu Mohd Adam. Saya kena jaga dia dan saya tahu kalau orang tengok dia lain. Kalau nak bawa dia ke masjid, dia pun suka baca al-Quran, tapi orang akan marah bila dia kacau sebab nak tengok al-Quran.

"Tapi, kita (ibu bapa) yang nak kena jelaskan itu susah. Jadi, yang inilah buat saya selalu refleks diri sendiri. Bagaimana nak suntik semula dalam rumah tangga, sistem kekeluargaan itu kerana kasih sayang amat penting dalam keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Lah yang popular dengan lagu Ayu yang juga bekas anggota kumpulan VE bertemu jodoh dengan Yasrina Yusoff pada 2007 dan dikurniakan tiga anak iaitu Amira, 13, Adam, 11 dan Azim, 8.

Terdahulu, Lah ditemui pada sidang media sempena penganjuran 25 Years Lah Ahmad Live In Concert yang bakal berlangsung pada 28 Januari 2023 di Stage 1 Theatre, PJPac 1 Utama, di sini.

Selain itu, diperdengarkan juga single terbaharu Lah iaitu Jatuh dan Ulang Tahun yang akan dimuatkan dalam dalam album solo keempatnya berjudul Jatuh yang mempunyai tujuh lagu.

Lah berkata, lagu-lagu dihasilkan untuk album baharunya lebih ke arah cinta dan kasih dalam keluarga yang wajar dipupuk untuk rumah tangga harmoni.

Katanya, dia bimbang melihat kes perceraian yang meningkat dalam kalangan suami isteri sama ada pasangan lama atau baharu berkahwin.

"Bagi saya, perasaan cinta itu memang ada. Tapi, sayangnya kerana ego yang ada pada diri itu yang membuatkan masing-masing lupa. Jadi, kita kena belajar buang ego diri untuk memastikan kasih sayang dalam keluarga sentiasa mekar.

"Saya berharap penganjuran 25 Years Lah Ahmad Live In Concert ini akan mendapat sambutan baik penonton kerana ia peluang pertama saya membuat konsert solo untuk menghiburkan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 1:34 PM