NANA tidak terfikir soal kahwin.
NANA tidak terfikir soal kahwin.
Syanty Octavia Amry

Tiada apa yang lebih membahagiakan hati ibu selain melihat anak tersayang gembira. Atas sebab itu, penyanyi Siti Nordiana rela hidup bersendirian tanpa kehadiran lelaki di sisi.

Ini kerana anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 7, tidak mahu dia berkahwin lagi.

Hampir enam tahun berstatus ibu tunggal, penyanyi yang popular dengan lagu Kasihmu Seakan Berubah itu mengakui bukan disebabkan permintaan anak semata-mata, tetapi dia juga belum bersedia untuk mencari pengganti.

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Mung­kin sebab lama hidup sendirian buat saya tidak terlalu memikirkan soal pengganti.

“Mungkin juga pengalaman bertemu dengan ramai orang yang tidak mengambil serius perkara membabitkan Rayyan membuatkan saya malas untuk fikir perkara ini.

“Bukan tidak mahu berkahwin lagi tetapi biarlah orang yang hendak menyunting saya sebagai isteri boleh menerima Rayyan.

“Kalau hendak berkahwin, tetapi tidak mahu terima Rayyan, payahlah,” katanya ketika ditemui di sesi pra dengar album terbaru berjudul Anakku Sayang.

Kongsinya yang mesra di sapa Nana, memberitahu Rayyan berkata, cukuplah dia ada seorang bapa dan tidak mahu orang lain menggantikan tempat bapanya.

“Rayyan tahu ayahnya sudah meninggal dunia. Baginya, itulah satu-satunya ayah yang dia ada dan tiada galang gantinya.

“Saya pun tidak ada masalah dengan permintaannya. Namun andai tertulis satu hari nanti bertemu jodoh, saya reda,” katanya.

Menyentuh perihal album terbarunya itu, Nana berkata, ia berkonsepkan kerohanian dan dihasilkan khas buat kanak-kanak terbitan Arteffects International.

Meskipun sebelum ini banyak menyanyikan lagu komersial, dia yakin lagu kerohanian ada ramai pengikut.

“Saya sudah puas menyanyikan lagu komersial. Usia yang kian matang ditambah pula memikul amanah sebagai ibu, saya mahu cari kelainan.

“Apabila Hafiz menawarkan saya merakamkan album kerohanian, saya terus bersetuju.

“Menyanyikan lagu kerohanian juga tidak sukar kerana muziknya santai. Lagu ini sesuai untuk didengar kanak-kanak dan golongan dewasa.

“Saya yakin semua orang akan suka apatah lagi ia boleh dialunkan ketika menidurkan anak atau menenang­kan si kecil yang sedang menangis,” katanya.

Album itu memuatkan lapan lagu antara­nya Anakku Sayang, Dodoi Si Dodoi, Hati Ibu dan Buai Laju-Laju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 2:02 PM