ROSYATI (kiri) bersama sahabat baik sejak kecil, Ah Cheong. FOTO Rosyati Abdul Rahman
ROSYATI (kiri) bersama sahabat baik sejak kecil, Ah Cheong. FOTO Rosyati Abdul Rahman
Noor Hidayah Tanzizi


Langkap: Istimewanya wanita Melayu ini apabila menguasai Bahasa Cina dan Tamil yang memberikan kelebihan padanya untuk berkomunikasi dengan kaum daripada bangsa itu sekali gus mencerminkan sikap masyarakat majmuk dalam negara ini.

Rosyati Abdul Rahman, 56, dari Kampung Tersusun Alor Bakong, di sini, mempunyai kemahiran bertutur dalam bahasa Cina iaitu bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien dan Hakka selain bahasa Tamil yang dipelajari sejak di usia muda.

Pengusaha katering itu juga mendapat perhatian di TikTok apabila videonya berbual dengan seorang individu berbangsa Cina yang dikongsikan menantu, Eva Farisha Mazlan di akaun media sosial itu menerima pujian netizen.

Rosyati atau lebih dikenali sebagai Mak Rose berkata, ketika kecil dia dibesarkan di perkampungan orang Cina, Kampung Goh Hong dan menjadi satu-satu keluarga Melayu menetap di kampung berkenaan kerana bapanya mengambil upah menanam padi dengan bapa angkat berbangsa Cina.

Menurutnya, sejak itu dia sudah biasa berkawan dengan rakan daripada kaum itu, malah mengakui hubungan mereka sangat rapat sehingga dia belajar bahasa Kantonis yang menjadi bahasa pengantar penduduk kampung berkenaan.

"Saya suka mendengar dan mengajuk bahasa mereka yang menjadi permulaan belajar bahasa Kantonis dan saya belajar juga Hokkien selain bahasa Tamil ketika dewasa kerana ketika itu saya mengambil upah menjahit pakaian.

"Saya tidak belajar semua bahasa itu secara formal dan bermula mengikut percakapan mereka lama kelamaan kita akan menjadi mahir, malah saya akan cakap saja biarpun ada sebahagian ayat sebutannya tidak tepat dan rakan akan tegur serta betulkan ayat itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia menghantar anak bongsu, Norfatihah Abdul Aziz bersekolah aliran Cina sejak tadika dan sekolah rendah yang memberi peluang kepadanya mempelajari Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun menurutnya, dia hanya boleh bertutur dalam semua bahasa berkenaan dengan paling lancar bercakap dalam bahasa Mandarin dan Kantonis.

"Lama juga saya dan keluarga tinggal di kampung berkenaan kira-kira daripada usia saya sembilan tahun hingga 18 tahun. Zaman kanak-kanak saya ketika itu sangat seronok kerana kami hidup bersama dengan muafakat dan harmoni, malah setiap kali perayaan kami akan merayakannya bersama.

"Malah sehingga kini saya masih berhubung dengan rakan baik berketurunan Tionghoa yang dikenali sejak kecil. Apabila berjumpa rakan bangsa Cina dan India, kami akan berbual dalam bahasa mereka dan Bahasa Kebangsaan," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, sebagai rakyat negara berbilang kaum tidak salah bangsa lain belajar bahasa kaum lain selain menguasai Bahasa Kebangsaan.

"Apabila kita memahami bangsa lain pastinya boleh hidup dalam suasana harmoni, tiada perkauman dan saling hormat menghormati. Bagi saya kelebihan menguasai bahasa kaum lain dapat mengeratkan hubungan masyarakat.

"Selain itu kita dapat menerangkan sebarang persoalan mengenai agama seperti rakan saya ada tanya kenapa orang Islam perlu berpuasa supaya mereka lebih memahaminya. Kita boleh belajar perlahan-lahan seperti setiap hari belajar satu atau dua ayat, nanti lama-lama kita menguasainya," katanya.

Berhubung video yang mendapat perhatian, Rosyati berkata, dia segan apabila video itu meraih tontonan ramai, namun gembira jika ia memberi nilai positif terutama kepada orang muda untuk belajar bahasa kaum lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 5:05 PM