Nor Faisal, 49, adalah guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini, yang perkongsiannya membeli seragam baru, mengunting rambut dan membawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun makan di restoran makanan segera mendapat perhatian di media sosial dan meraih pujian ramai.
Nor Faisal, 49, adalah guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini, yang perkongsiannya membeli seragam baru, mengunting rambut dan membawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun makan di restoran makanan segera mendapat perhatian di media sosial dan meraih pujian ramai.
Noor Hidayah Tanzizi


Klang: "Sebagai guru, saya tidak boleh 'menutup' mata apabila melihat anak murid memakai seragam sekolah lusuh dan seluar singkat, malah rambutnya turut panjang tidak dipotong. Keadaan itu menjentik hati saya untuk membantunya dengan membelanja makan setiap Jumaat melalui dana sumbangan orang ramai dan sendiri," kata Nor Faisal Ishak, 49.

Dia yang mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di sini, berkongsi kisah membeli seragam baru, menggunting rambut dan membawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun makan di restoran makanan segera.

Perkongsian di media sosial itu mendapat perhatian dan meraih pujian ramai.

Menurutnya, dia menyedari keadaan murid lelaki itu ketika meronda barisan perhimpunan sekolah sesi petang pada 1.30 tengah hari, Isnin lalu, sebelum bertanya jika murid itu mempunyai seluar lain.

"Murid itu kemudian memberitahu semua seluar sekolahnya sudah pendek dan dia tiada seluar baru.

"Mendengar jawapan itu saya mengucap dalam hati dan terasa `bersalah' kerana terlepas pandang. Murid itu adalah anak yatim yang saya santuni hampir setiap Jumaat.

"Saya kemudian meminta izin daripada Guru Penolong Kanan untuk membawa murid itu keluar membeli seragam baru kerana stok seragam terpakai tiada saiznya," katanya, semalam.

Menurutnya, selepas membeli seragam dan menggunting rambut muridnya itu, dia mempelawa kanak-kanak itu menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera.

"Dia mempunyai adab yang baik dan memberitahu ibu sudah menyediakan bekal untuknya sebelum bersetuju makan di situ. Ketika kami sedang makan ada seorang wanita menghulurkan wang belanja untuknya," katanya.

Menurut Nor Faisal, murid terbabit tinggal bersama ibu dan dua lagi adiknya selepas kematian bapa.

"Ibu kanak-kanak itu hanya berniaga aiskrim buatan sendiri secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga mereka.

"Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, saya aktif menyantuni mereka yang memerlukan terutama murid serta anak yatim dengan dana sendiri selain sumbangan orang ramai. Melalui pertubuhan itu, kami sudah membeli 100 kasut untuk murid sekolah.

"Pada pandangan saya, sebagai sesama insan kita perlu peka terhadap persekitaran dan apa yang dilihat itu kita fikirkan apakah cara untuk bantu atau selesaikannya," katanya.

Berhubung perkongsiannya di media sosial, guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) itu berkata, dia bukan mahu mencari populariti atau meraih pujian ramai sebaliknya ia hanya sekadar perkongsian yang secara tidak langsung ia membuka peluang untuk membantu.

"Dalam masa sama ia boleh mendidik masyarakat kita untuk fokus kepada kebajikan masyarakat daripada kisah lain yang kurang bermanfaat. Saya berharap kisah ini memberi manfaat kepada orang lain dan percaya ramai orang termasuk guru lain juga melakukan perkara sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 3:53 PM