Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Ramai dah buat Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tetapi langgar ikrar. Memang ada rekod kami, mereka dari agensi kerajaan atau swasta yang pernah melafazkan ikrar ini tetapi masih lagi berlaku rasuah di organisasi berkenaan.

Itu teguran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kepada pihak tertentu yang melanggar atau mengingkari ikrar bebas rasuah atau IBR itu.

Beliau berkata, program IBR bukanlah sekadar memenuhi majlis atau bersifat one-off kosmetik sahaja tetapi sebaliknya perlu dihayati dan dipatuhi.

"Mengatasinya (isu pelanggaran IBR) ialah antaranya pertama dari segi penguatkuasaan undang-undang tegas, kedua pelaporan daripada ketua-ketua jabatan dengan tidak melindungi kakitangan mereka melakukan rasuah dan ketiga, tatakelola atau pun governance dalam jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya perlu diperkemaskan.

"Saya tekankan perkara ini kerana terdapat beberapa kes yang mana, janji-janji dalam IBR dimungkiri. Walaupun sudah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah.

AZAM berucap ketika merasmikan Pelancaran Hari Integriti 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZAM berucap ketika merasmikan Pelancaran Hari Integriti 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Perkara ini sesuatu yang memalukan. Seolah-olah, IBR hanya 'wayang' untuk pertunjukan sahaja. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari," katanya pada Majlis Pelancaran Hari Integriti WTCKL 2023, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL Mohd Yusri Mohd Junos.

Sementara itu Azam juga mengingatkan bahawa integriti adalah satu elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang boleh menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara.

"Tanpa integriti segala usaha ke arah memajukan negara akan memberikan hasil yang mengecewakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 2:04 PM