PEMAIN Belgium sedang menjalani latihan. FOTO Agensi
PEMAIN Belgium sedang menjalani latihan. FOTO Agensi
Agensi

Munich, Jerman: Belgium tidak kisah dilabel pasukan bukan pilihan dan lebih selesa dianggap 'underdog' dalam saingan Euro 2024 di Jerman kali ini.

Menurut pertahanan pasukan, Timothy Castagne, status bukan pilihan tidak memberi kesan kepada persembahan pasukan dan ia bagus bagi mengurangkan tekanan.

"Pasukan ini adalah gabungan pemain pengalaman dan tonggak muda baharu, situasi ini sangat bagus.

"Saya tidak berada di sini untuk membuktikan kepada anda bahawa kami mempunyai peluang, ia perlu dibuktikan di atas padang.

"Kami tidak kisah jika dunia luar melihat kami sebagai bukan pasukan pilihan. Perkara yang paling penting ialah kami percaya bahawa kami mampu mencapai sesuatu yang indah," katanya.

Belgium bakal mengharungi aksi pertama menentang Slovakia Selasa ini, dengan kedua-duanya diletakkan dalam Kumpulan E yang turut disertai Romania dan Ukraine.

The Red Devils yang pernah memiliki skuad generasi emas meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2018 yang menjadi penamat terbaik mereka dalam mana-mana pertandingan sejak mereka muncul naib juara di Euro 1980.

Belgium akan tampil tanpa kelibat penjaga gol terbaik dunia, Thibaut Courtois yang diketepikan daripada skuad kendalian Domenico Tedesco selain kehilangan Eden Hazard yang mengambil keputusan untuk bersara selepas kempen Piala Dunia 2022 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 10:17 AM