LOOKMAN meraikan jaringannya. FOTO AFP
LOOKMAN meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Bouake, Ivory Coast: Ademola Lookman dan Gelson Dala masing-masing menjaringkan dua gol untuk Nigeria dan Angola bagi membantu negara masing-masing melangkah ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), hari ini.

Lookman menjaringkan gol selepas 36 minit ketika menentang Cameroon di Abidjan dan meraih gol kemenangan minit ke-90 untuk membolehkan Super Eagles melepasi pusingan 16 terakhir.

Dala pula sudah meledak empat gol, kurang satu berbanding penjaring terbanyak ketika ini, Emilio Nsue dari Equatorial Guinea, selepas dia menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk membolehkan Angola melakar kemenangan 3-0 ke atas Namibia di Bouake.

Nigeria yang dilabel antara pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan, membariskan pemain terbaik termasuk pemain terbaik Afrika, Victor Osimhen dan akan bertemu Angola di suku akhir, Sabtu depan.

Nigeria menyaksikan gol awal Semi Ajayi dibatalkan selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR) tetapi asakan bertali arus oleh Victor Osimhen membolehkan Lookman membuka jaringan pada minit ke-36.

Lookman memastikan kemenangan pada minit ke-90 aksi di Stadium Felix Houphouet Boigny di Abidjan.

"Ia persembahan hebat daripada pasukan, kami berjuang dari minit pertama hingga ke-100," kata Lookman.

Sementara itu, kapten Angola, Fredy, yang mencipta kedua-dua gol Dala, mendedikasikan kemenangan ke atas Namibia kepada rakyat negara itu.

"Dari segi ekonomi, ia saat yang sukar bagi kebanyakan rakyat Angola, jadi saya harap kemenangan kami ini dapat menaikkan semula semangat penyokong di tanah air.

"Kami mara ke suku akhir selepas hadir ke Ivory Coast sebagai pasukan bukan pilihan. Kami percaya kepada kebolehan kami sebagai pemain bola sepak dan bersemangat untuk menentang Nigeria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 8:56 AM