PEMAIN Leverkusen, Julian Brandt (kanan) menjadi tumpuan pada aksi bertemu Leipzig, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Leverkusen, Julian Brandt (kanan) menjadi tumpuan pada aksi bertemu Leipzig, awal pagi tadi. - Foto EPA

BERLIN: Julian Brandt memberi inspirasi buat Bayer Leverkusen mencipta kemenangan penting mengatasi RB Leipzig, 4-1 awal pagi tadi dan membawa pasukan itu ke kedudukan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pemain berusia 21 tahun itu yang menandatangani kontrak baharu mengejutkan di kelab minggu lalu, menjadi tumpuan aksi ketika Leverkusen menukar defisit 1-0 dengan tiga gol dalam masa kurang 15 minit.

“Saya rasa saya menjadi lebih baik ketika perlawanan berlangsung,” kata Brandt kepada Eurosport.

“Perlawanan seperti ini memang menyeronokkan, terutama apabila anda menjaringkan beberapa gol pada babak kedua.”

Kemenangan itu menyaksikan Leverkusen mara ke kedudukan keempat liga, mengatasi Leipzig, yang jatuh ke tangga keenam.

Dalam aksi pagi tadi, Marcel Sabitzer memberikan tuan rumah, Leipzig kedudukan pendahulu pada minit ke-17 apabila pemain Austria itu bergandingan mantap dengan Yussuf Poulsen sebelum meledak voli rendah ke penjuru gawang.

Leverkusen menyamakan kedudukan sejurus sebelum tamat babak pertama menerusi serangan balas pantas. 

Sepakan lintang menarik Leon Bailey menemui Kai Havertz yang meledak mengatasi Petar Gulacsi pada minit ke-45.

Pada babak kedua, Leverkusen semakin mendominasi dan ia bermula hanya lima minit selepas rehat, apabila sepakan percuma Bernd Leno cuba dikeluarkan dari kawasan Leipzig, namun Brandt pantas menyambar peluang untuk meledak gol kedua pada minit ke-51.

Berselang lima minit, tiba giliran Retsos untuk menjaringkan gol ketiga dan Volland melengkapkan kebangkitan Leverkusen menerusi gol keempat pada minit ke-69. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 7:31 AM