LOOKMAN (kanan) menjaringkan gol di peringkat 16 terbaik dan suku akhir, sekali gus memastikan Nigeria ke separuh akhir AFCON. FOTO REUTERS
LOOKMAN (kanan) menjaringkan gol di peringkat 16 terbaik dan suku akhir, sekali gus memastikan Nigeria ke separuh akhir AFCON. FOTO REUTERS
AFP

Abidjan: Ademola Lookman lebih mencuri tumpuan berbanding pemain bintang, Victor Osimhen apabila Nigeria layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) untuk berdepan Afrika Selatan, awal pagi Khamis ini.

Ini terbukti apabila Lookman yang pernah beraksi untuk skuad remaja England menjaringkan semua gol Nigeria di peringkat 16 terbaik dan suku akhir.

Pada ketika Osimhen yang juga pemain terbaik tahunan Afrika gagal menemui sasaran sejak gol di perlawanan pembukaan menentang Equatorial Guinea, Lookman meledak ketika menang 2-0 ke atas Cameroon di peringkat 16 terbaik dan gol tunggal ketika menyingkirkan Angola 1-0 di suku akhir.

Nigeria mungkin memerlukan ketajaman Lookman apabila berdepan Afrika Selatan, awal pagi Khamis, berikutan Osimhen mengalami masalah perut dan belum pasti dapat beraksi di separuh akhir itu.

Kebanyakan analisis mengenai Nigeria lebih tertumpu kepada kemarau jaringan Osimhen selain pendekatan digunakan jurulatih, Jose Peseiro, yang lebih mengutamakan sistem supaya tidak dibolosi lawan.

"Saya memilih strategi lain dan pemain percayakannya iaitu tidak bolos kerana kami pasti akan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol," kata Peseiro dalam satu sidang media di Abidjan.

Pasukannya mengekalkan empat rekod tidak bolos sehingga layak ke separuh akhir apabila mengubah kepada sistem tiga bek tengah.

Bagaimanapun, Lookman, 26, kini menjadi pengubah perlawanan dan mustahil Peseiro akan menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

Nigeria dianggap memiliki rangkaian penyerang ampuh dengan pemain AC Milan, Samuel Chukwueze, Kelechi Iheanacho dan penyerang veteran, Ahmed Musa berada di bangku simpanan.

Lookman mungkin tidak akan berada dalam pasukan, tetapi kecederaan Victor Boniface menyebabkan penyerang Bayer Leverkusen itu tersisih sebelum AFCON bermula.

"Kami menyokong satu sama lain dan tidak mengambil mudah. Saya fikir ia diterjemahkan dalam etika kami, bagaimana berjuang untuk satu sama lain, bagaimana kami bertahan dan menyerang bersama-sama," kata Lookman selepas dipilih pemain terbaik ketika menentang Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 12:00 PM