FAISAL bakal menjalani pembedahan kali keempat, minggu depan. FOTO ARKIB NSTP
FAISAL bakal menjalani pembedahan kali keempat, minggu depan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi Liga Super antara Selangor FC (SFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini bakal menyajikan keunikan tersendiri.

Ia selepas tuan rumah mengajak penyokong Red Giants dan pelawat untuk sama-sama memberi penghormatan sebagai tanda solidariti kepada bintang bola sepak negara, Faisal Halim yang menjadi mangsa disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Menerusi perkongsian SFC di laman sosial kelab itu, penyokong diminta untuk berdiri dan memberikan tepukan gemuruh buat Faisal pada minit ketujuh perlawanan itu.

Minit ketujuh itu dipilih sebagai simbolik kepada nombor jersi Faisal yang sering digunakannya sama ada ketika menyarung jersi SFC dan skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey dilaporkan diserang dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Dua individu itu menyimbah cecair asid ke arah muka pemain sayap itu, namun dia sempat mengelak dan asid itu terkena di beberapa anggota badan seperti leher, lengan, dada dan terkena sedikit di bahagian tepi wajahnya.

Difahamkan, asid itu cukup berbahaya apabila badan Faisal melecur tahap empat hingga terpaksa dibedah oleh pakar Dermatologi atau pakar kulit sebanyak tiga kali setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 8:39 PM