FAISAL dipercayai berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan CCU bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
FAISAL dipercayai berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan CCU bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Firdaus Hashim; Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Shah Alam: Terkejut dan tak sangka antara perasaan dialami keluarga bintang bola sepak negara, Faisal Halim sebaik menerima perkhabaran pemain itu disimbah asid, petang semalam.

Jelas keluarga terdekat pemain Selangor FC itu, rombongan keluarganya dari Pulau Pinang terus bertolak ke ibu negara sebaik dimaklumkan mengenai insiden itu.

"Kami sampai sini (hospital di Shah Alam) pada 3 pagi tadi. Kami tak sempat nak tengok pembedahan yang dilakukan.

"Memang terkejut bila dapat tahu pasal kejadian ini. Tak sangka dia (Faisal) kena macam ini.

"Bila dapat tahu itu, memang kami semua terus mai dari Pulau Pinang. Memang sedih dan tak sangka sampai lagu ini," katanya.

Tinjauan Arena Metro mendapati ahli keluarga terdekat Faisal sudah berkumpul di hospital swasta di sini, sejak awal pagi tadi.

Selain ahli keluarga, rakan dan ejen Faisal turut berada di sekitar perkarangan hospital.

Semalam, Faisal dilaporkan diserang oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Dua individu itu menyimbah asid ke arah muka pemain sayap itu, namun dia sempat mengelak dan terkena di beberapa anggota badan seperti leher, lengan, dada dan terkena sedikit di bahagian tepi wajahnya.

Difahamkan, asid itu cukup berbahaya apabila badan Faisal melecur hingga terpaksa dibedah oleh pakar dermatologi atau pakar kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 3:47 PM