PERTARUHKAN single berjudul Imaginary, kongsi rasa mengenai perjalanan kehidupan sendiri.
PERTARUHKAN single berjudul Imaginary, kongsi rasa mengenai perjalanan kehidupan sendiri.
Georgie Joseph


Selepas lebih dua tahun tidak melancarkan karya baharu, tahun ini menjadi titik permulaan era baharu buat kumpulan Honne.

Kumpulan duo ini cukup teruja dapat kembali berkarya dan menampilkan album studio kelima mereka pada sekitar hujung tahun.

Anggotanya, Andy Clutterbuck, 36, dan James Hatcher, 35, memang tidak sabar berkongsi sisi baharu mereka. Ini kerana mereka pun semakin yakin dengan hala tuju karier selepas bertahun lamanya membina legasi sendiri.

Mempertaruhkan single berjudul Imaginary, Clutterbuck berkata, mereka lebih banyak menulis karya bersifat peribadi kali ini. Mereka mahu berkongsi rasa mengenai perjalanan kehidupan sendiri.

"Ini adalah era yang sangat berbeza untuk Honne. Tempoh yang sangat mengujakan kami kerana sudah album kelima. Kami mahu sentiasa berkembang setiap masa.

"Tapi, album yang satu ini memang secara khususnya paling menyeronokkan. Ia benar-benar sangat bersifat peribadi dan membongkar banyak kisah perjalanan sepanjang karier muzik kami.

"Imaginary berkisar bagaimana saya bertemu dengan isteri saya 20 tahun yang lalu sewaktu di kolej. Kisahnya mengenai kehidupan remaja kami, impian dan membayangkan masa depan bersama. Ia sebuah lagu yang sangat indah. Barangkali antara lagu paling comel kami pernah ada," katanya.

Clutterbuck turut menekankan kematangan menjadi punca anjakan keseluruhan hidup mereka. Baik muzik mahupun peribadi, paling mereka rasai sekarang adalah kebebasan.

Sebelum ini, aturan karier mereka dibebani kekangan dan banyak hal perlu dipatuhi. Akan tetapi, Honne lega perjalanan mereka selepas ini akan lebih terbuka dan melakukan mana-mana perkara ikut kata hati saja.

"Beberapa tahun kebelakangan, banyak hal berlaku dalam kehidupan kami. Bukan sekadar karier semakin berkembang, namun dalam kehidupan peribadi juga. Ia memberikan kami ruang untuk jadi lebih bebas.

"Kami dapat ekspresikan diri mengikut kemahuan diri yang mana kami tak dapat lakukannya pada sebelum-sebelum ini. Contohnya James berkahwin, bahagia dan temui titik hidup selesa.

"Saya pula sudah memiliki dua anak sejak kali terakhir kami melancarkan album. Dapat berkongsi mengenai cerita ini dengan bebas tanpa ragu-ragu atau rasa dihakimi sesiapa," katanya.

Berkongsi sedikit mengenai album terbaru juga, Clutterbuck mengakui karya akan datang mereka jauh lebih jujur.

"Disebabkan nama kami yang diambil daripada perkataan Jepun dan bermaksud jujur, kami sentiasa cuba menjadi ikhlas dengan penulisan karya kami. Tapi khususnya untuk album ini, ia adalah yang paling jujur pernah kami hasilkan," katanya.

HONNE kini tampil dengan era baharu.
HONNE kini tampil dengan era baharu.

Dalam pada itu, kebebasan Honne juga makin terasa kerana mereka sudah tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

Menurut Clutterbuck, memang cabarannya besar tapi sangat membuka mata mereka untuk lebih kerja-keras.

"Kami sekarang sudah bergerak sendiri dan tubuhkan syarikat rakaman sendiri dipanggil Smile More Recordings. Memang kerja jadi lebih banyak namun sangat memuaskan dan berbaloi.

"Kami menghasilkan muzik video sendiri, membuat laman web sendiri dan banyak lagi hal kami pelajari. Hal-hal yang artis besar lain biasanya tak uruskan tapi kami suka idea bahawa kami lakukannya sendiri," katanya.

SUDAH memiliki syarikat rakaman sendiri.
SUDAH memiliki syarikat rakaman sendiri.

Lebih tumpu luang masa dengan keluarga

Lama juga berdiam, antara sebab Honne senyap tentunya kerana memberi laluan kepada perkahwinan Hatcher. Bagaimanapun, Hatcher akui ia sebenarnya tidak membantutkan proses berkarya mereka.

"Saya adakan majlis perkahwinan dua kali iaitu pada Ogos tahun lalu yang saya dan isteri uruskan bersama. Manakala majlis pada Disember tahun lalu di Kemboja diuruskan sepenuhnya keluarga isteri saya.

"Tapi ia tidaklah hentikan pun proses penghasilan lagu kami. Kami banyak sibuk berkarya di studio di London. Bermula tahun lalu kami sudah ada studio sendiri yang memang khas untuk kami berdua," katanya.

Kini melangkah ke alam baharu bergelar suami dan berkahwin, Hatcher tidak merasa sebarang cabaran kerana hakikatnya sudah lama kenali isterinya Octavia Hatcher.

"Saya sudah bersama isteri saya selama 10 tahun. Ia sebuah tempoh yang agak lama dan kami sebenarnya sudah terbiasa bagaimana mengendalikan hubungan serta berkomunikasi secara baik.

"Harapan saya cumalah untuk berniat membina sebuah kehidupan yang sangat bahagia. Kami mahu dekat dengan keluarga dan rakan kesayangan supaya lebih erat. Jika dikurniakan cahaya mata, semestinya lebih bermakna," katanya.

Cukup rancak mengadakan siri jelajah berbulan-bulan lamanya sewaktu masih bujang, Honne bagaimanapun akan lebih seimbangkan tumpuan buat kerjaya dan keluarga selepas ini.

"Sekarang kami sudah memiliki tanggungjawab seperti Andy ada anak, kami cuma adakan siri jelajah beberapa minggu. Kemudian kembali ke pangkuan keluarga supaya tidaklah berjauhan sangat lama.

"Saya pasti pendekatan itu akan cukup membantu dan buat kami rasa sentiasa bertenaga. Begitu juga dengan pasukan siri jelajah kami, dapat luang masa dengan orang tersayang di samping siri jelajah semestinya lebih bermakna," katya Hatcher.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 6:00 AM