AKSI kumpulan Simple Plan atas pentas bagai tak dimamah usia walau  lebih dua dekad dalam industri.
AKSI kumpulan Simple Plan atas pentas bagai tak dimamah usia walau lebih dua dekad dalam industri.
Georgie Joseph


(Yang menemubual Simple Plan, baru-baru ini)

TIDAK pernah gagal mempamer stamina menakjubkan, kumpulan Simple Plan bagaikan tidak dimamah usia setiap kali beraksi atas pentas. Kelincahan mereka sentiasa memukau penonton.

Sudah lebih dua dekad dalam industri muzik, Simple Plan yang dianggotai Pierre Bouvier selaku penyanyi utama, Jeff Stinco (gitar utama), Sebastien Lefebvre (gitar) dan Chuck Comeau (dram) ini pastinya dicemburui ramai.

Mereka masing-masing tetap kelihatan seperti muda-mudi pada usia 40-an. Masih sihat sejahtera, mereka sangat bertuah dikurniakan rezeki daripada aspek itu walaupun usia sudah meningkat.

Dalam temubual bersama RAP baru-baru ini, Stinco berkata, mereka tidak pernah ambil remeh soal kesihatan dan dalam masa sama minat dalam muzik sebenarnya menjadi punca mereka kekal 'awet muda'.

"Gaya hidup sihat semestinya sangat penting. Namun, dapat beraksi atas pentas sudah cukup menyemarakkan tenaga. Bermain muzik, dapat jumpa peminat dan terbabit dalam komuniti itu sangat membantu.

"Rasa cinta mendalam terhadap apa yang kami gemar lakukan. Kami pun sudah lakukan ini sangat lama, adakan siri jelajah lebih 22 tahun dan bermain muzik selama 30 tahun. Secara tak langsung, ketahanan itu sudah terbina sendiri," katanya.

Stinco juga percaya rutin bermain muzik dan membuat persembahan sudah sebati dalam diri mereka. Pada masa sama, mereka sentiasa memastikan tahap kesihatan turut menjadi keutamaan.

"Kami juga tahu bagaimana mengatur rentak untuk memastikan kesihatan diri pada tahap terbaik. Kami minum lebih banyak air. Disebabkan sudah biasa melakukannya, ia ibarat senaman untuk kami. Seperti menunggang basikal dan kayuh terus saja," katanya.

Demikian juga stamina yang dibawa ke pentas. Mereka sentiasa tahu bahawa magis pasti berlaku atas pentas itu sendiri walaupun apa saja emosi sedang membelenggu ketika sebelum persembahan.

"Hilang penat serta-merta teringat peminat yang sudah berbulan-bulan menanti persembahan kami. Dari situlah dapat tenaga dan rasa getaran keterujaan itu.

"Bahkan, sewaktu buat sesi pemanasan di belakang pentas dan mendengar jeritan penonton, apa juga emosi dirasa ketika itu, yang pasti kita tahu ia akan jadi kenangan terindah," katanya.

Sudah menghasilkan puluhan lagu popular, tentu bukan mudah untuk Simple Plan memilih lagu ketika mengadakan konsert kerana kebanyakan lagu mereka meninggalkan impak besar dalam hati peminat.

SENTIASA teruja kembali ke Malaysia dan bersyukur kubu peminat kukuh di sini.
SENTIASA teruja kembali ke Malaysia dan bersyukur kubu peminat kukuh di sini.

Lagu-lagu lama mereka yang terus menjadi siulan hingga sekarang, pastinya dinantikan peminat setiap kali menonton mereka. Misalnya lagu wajib dendang seperti Perfect, I'm Just A Kid dan Welcome To My Life.

Stinco mengakui aspek itu cukup menarik untuk dibincangkan. Apapun, baginya amat penting untuk seimbangkan lagu lama dan baharu asalkan corak tenaga persembahan dipamerkan tetap sama.

"Sangat penting untuk mengimbangi hal itu. Contohnya kalau kita pergi menonton Radiohead dan mereka tidak nyanyikan lagu Creep selepas beberapa tahun menanti, pasti kita rasa konsert itu merapu.

"Kami tak nak jadi band seperti itu. Tapi pada masa sama, kita seronok apabila band itu keluarkan lagu baharu dan semestinya ingin melihat mereka persembahkan atas pentas.

"Kami sedar peminat sentiasa nak dengar kami persembahkan Welcome To My Life, I'm Just A Kid, Perfect. Tapi mereka juga nak dengar lagu baharu. Jadi sangat penting untuk seimbangkan pemilihan lagu itu," katanya.

Stinco juga tidak menyangkal bahawa mereka tidak terlepas berdepan turun naik dalam kerjaya. Namun, mereka tidak putus bersungguh-sungguh pikat peminat terhadap setiap satu karya dihasilkan.

"Kami amat bertuah masih ada peminat tegar yang teruja dengar lagu baharu. Tenaga yang kami salurkan dalam lagu baharu pun masih sama seperti dulu. Kalau lagu itu dihasilkan untuk album pertama dulu, tetap akan jadi kegemaran mereka," katanya.

Tahun lalu, Simple Plan akhirnya tampil melancarkan album baharu mereka berjudul Harder Than It Looks. Peminat menanti lebih enam tahun untuk album berkenaan selepas album Taking One for the Team pada 2016.

Comeau menyifatkan album terbabit membawa makna yang sangat peribadi mengenai perjalanan muzik mereka. Misi utama adalah mengembalikan nostalgia mengenai kumpulan itu dalam versi moden.

"Kami cuba untuk gambarkan dan kembalikan gambaran apa kami memang gemar mengenai band kami serta apa juga peminat suka mengenai kami. Kami ingin cipta versi moden mengenai hal itu.

"Kami berbalik kepada corak tenaga dipamerkan dalam album pertama, disusuli emosi berbeza album-album seterusnya. Semua itu kami campur-adukkan dan cipta sesuatu yang menunjukkan siapa kami sebenar tahun ini," katanya.

TURUT berduet dengan Vanessa Reynauld untuk lagu Jet Lag.
TURUT berduet dengan Vanessa Reynauld untuk lagu Jet Lag.

MALAYSIA TERSEMAT KUKUH DI HATI

Tatkala disoal kenapa sentiasa memilih beraksi di Malaysia, Comeau akui negara ini menyimpan 1,001 makna dalam hati mereka.

"Kubu peminat seperti di sinilah yang sentiasa mahu terus sokong persembahan kami. Hal itu sendiri saja pun sudah cukup besar motivasinya untuk kami kembali ke Malaysia.

"Sejarah yang kami ada dengan Malaysia sejak 2004. Pengalaman kami di sini tidak pernah tak menyeronokkan. Peminat kami terlalu ramai dan terlalu banyak komen suruh kami kembali ke Malaysia," katanya.

Hakikatnya, mereka sedari pendengar di Spotify, pengikut di Instagram, rata-rata datang dari rantau sebelah sini. Mereka sudah membina sesuatu, tak putus usaha mencapai peminat dan wujudkan kubu di sini.

"Saya secara peribadi merasa sangat bersalah apabila tengok komen peminat yang mengatakan sudah tujuh tahun kami tak datang Malaysia. Dan paling menyeronokkan dapat kembali ke tempat yang sudah tersemat kemas dalam hati sekian lama.

"Tambahan pula peminat di rantau ini datang daripada budaya dan bahasa berbeza dengan tempat asal kami. Lagilah lebih istimewa dan bermakna besar buat kami," katanya.

Simple Plan bertandang buat kali keempat ke Malaysia bagi menjayakan konsert The Harder Than It Looks Tour: Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 3,000 penonton di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mereka turut menampilkan penyanyi tempatan Vanessa Reynauld untuk berduet lagu Jet Lag pada konsert berdurasi hampir dua jam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 6:00 AM