BUTTERFINGERS akan kembali jayakan Konsert Malayneum 23, ajak peminat imbau kegemilangan muzik mereka. - FOTO Rohanis Shukri
BUTTERFINGERS akan kembali jayakan Konsert Malayneum 23, ajak peminat imbau kegemilangan muzik mereka. - FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


Kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November 2019 ternyata menyuntik semangat buat kumpulan Butterfingers merencana konsert Malayneum, sempena album ke-4 mereka.

Malangnya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia selepas itu, membuatkan LoQue, Emmet, Kadak dan Loco terpaksa melupakan impian untuk mengembalikan nostalgia kegemilangan kemuncak muzik mereka ketika itu buat seketika.

Kini masanya sudah tiba dan mereka sekali lagi bakal membawa peminat mengimbau nostalgia menerusi Konsert Malayneum 23 yang akan diadakan di lokasi sama Oktober nanti.

LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, 2023 dilihat 'cuaca' yang agak baik untuk melaksanakan agenda yang tertangguh ini.

"Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kultus kami sentiasa dahagakan persembahan secara 'live'.

"Kami juga percaya, tindak balas kimia yang kami salurkan apabila kami berempat berentap bersama di atas pentas sejak pasca Transcendence 20 bakal menggamit nostalgia serta mengukir memori baru baik kepada penonton juga kepada kami ahli kumpulan.

"Tujuan utama Konsert Malayneum 23 ini diadakan adalah kerana Butterfingers pada 2001 ketika itu sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album pertama iaitu 1.2 Milligrams.

"Ketika album ketiga Butterfingers Transcendence, belum selesai menempa nama di arus perdana, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus mengeluarkan album keempat iaitu Malayneum dengan bunyi-bunyian yang lain dari album-album sebelumnya," katanya.

Menurutnya, perspektif syarikat rakaman ketika itu menafsirkan album terbabit sebagai 'bunuh diri secara komersial' kerana mereka sudah membuat pusingan 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari bunyi-bunyian album Transcendence sebelum itu.

"Oleh kerana album Malayneum ini dilihat sebagai janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu.

"Tour Malayneum tidak dapat diraikan sepenuhnya maka telah dipendekkan. Oleh itu, album ini dianggap 'setengah masak' kerana kami tidak dapat bermain 'live' lagu-lagu dari album Malayneum secara menyeluruh.

"Jadi, Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu dari album Malayneum antaranya, akan dimainkan dalam perspektif yang berbeza di era yang berbeza untuk semua yang hadir nanti," katanya.

BUTTERFINGERS bersyukur dapat melaksanan perancangan yang tertunda sebelum ini. - FOTO Rohanis Shukri
BUTTERFINGERS bersyukur dapat melaksanan perancangan yang tertunda sebelum ini. - FOTO Rohanis Shukri

LoQue turut berkata, konsert ini juga akan dirakam secara 'live' namun mereka belum mengenal pasti untuk menyiarkannya menerusi platform yang sesuai.

Sudah pasti kerinduan peminat Butterfingers yang sinonim dengan gelaran 'Royal Butters' akan terubat dengan konsert yang bergema dengan genre muzik "post-grunge" dan "alternative rock" ini.

Sesuatu yang terpahat dalam Konsert Transcendence 20 Tahun ialah peristiwa Kadak, pemain bass mereka berhenti di tengah persembahan akibat sesak nafas.

Pengalaman itu dijadikan iktibar dan Butterfingers berjanji lebih teliti dan mengambil berat perkara ini dari mengelakkan ia berulang. Aspek ini dipertingkatkan termasuk untuk keselamatan penonton yang hadir.

"Kami sentiasa mengambil iktibar dan memperbaiki mutu persembahan. Demi mengelakkan perkara yang lama kembali, kami sangat menekankan perihal kesihatan. Kami juga banyak melakukan senaman, jaga makan dan tidak mengambil gula berlebihan.

"Kita hanya mampu merancang dan diharap peristiwa lalu tidak akan berulang," kata Emmet.

Bagi Kadak pula, apa yang boleh dilakukan ialah meminta peminat sama-sama mendoakan agar urusan Butterfingers dipermudahkan demi menjayakan konsert Malayneum 23.

Keinginan peminat untuk menyaksikan Emmet tampil bermain gitar semula di atas pentas akan terlaksana menerusi konsert ini.

"Saya berharap ia dapat memberikan satu persembahan yang boleh diingati serta luar biasa. Yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas yang betul-betul puas.

"Ini kerana jika diri saya dapat rasai kepuasan itu, maka sudah pasti anda semua yang hadir tentu akan lebih puas, sepuas-puasnya," katanya.

Sejumlah lebih 20 lagu, bakal ditampilkan dan bukan perkara mudah buat mereka memilih senarai lagu bagi dipersembahkan di konsert itu nanti.

Bagaimanapun mereka bercadang untuk turut membawakan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan di mana-mana konsert mereka sebelum ini selain lagu-lagu 'wajib' yang banyak memperkenalkan Butterfingers kepada khalayak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 6:00 AM