Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue, 16, (kanan) cedera di bahagian dagu dan kaki yang terselamat dalam kemalangan di membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, tengah malam tadi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue, 16, (kanan) cedera di bahagian dagu dan kaki yang terselamat dalam kemalangan di membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, tengah malam tadi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa

Kuala Krai: "Tidak sangka perjalanan beraya ke rumah saudara di Rantau Panjang bertukar tragedi apabila saya kehilangan ibu dan nenek," kata Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue.

Dia adalah seorang mangsa terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Bukit Ah Kim, pada 12.50 tengah malam tadi.

Tuan Muhammad Adam, 16, berkata, dia terlelap sepanjang perjalanan dan hanya tersedar selepas kemalangan berlaku sebelum melihat ibunya, Noor Hayati Harun, 40-an, dan bapa, Tuan Arzue Daud, 50-an serta neneknya, Samsiah Man, 60-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya segera keluar daripada kereta dan cuba menarik bapa namun tidak berjaya sebelun dibantu oleh orang ramai.

"Lebih sayu apabila saya nampak Umi (ibu) tersepit di bahagian hadapan, manakala nenek tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang.

"Luluh hati saya apabila dimaklumkan bahawa Umi sudah tiada dan lebih memeritkan apabila nenek juga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

"Abah masih tidak sedarkan diri dan kini mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Saya hanya cedera di dagu serta kaki, namun masih dalam keadaan terkejut dan trauma mengingatkan kejadian yang menimpa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.

Menurutnya, sebaik urusan bedah siasat selesai, jenazah ibu dan neneknya akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan terbabit membabitkan Toyota Hilux dan Ford Ranger.

"Ssiasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku ketika Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 37 tahun bersama tiga orang penumpang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menghala ke Machang hilang kawalan sebelum bertembung dengan Ford Ranger yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux serta penumpang Ford Ranger meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi penumpang Ford Ranger meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra pada 1.50 pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:13 PM