KENDERAANCyang terbabit dalam kemalangan di KM 56 Jalan Gua Musang- Kuala Krai, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
KENDERAANCyang terbabit dalam kemalangan di KM 56 Jalan Gua Musang- Kuala Krai, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Dua lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 56 Jalan Gua Musang- Kuala Krai, berhampiran Ladang Serasa, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa, Mohd Nurhisyam Hilmi Abdul, 37, yang memandu Perodua Myvi, bersama penumpang, Mhd Zulkanain Aziz, 35, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa, masing-masing seorang penumpang Perodua Myvi cedera parah dan Toyota Hilux cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, selain empat lagi iaitu pemandu serta penumpang pacuan empat roda terbabit terselamat.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, sebelum kejadian, Perodua Myvi yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Gua Musang terbabas ke kiri jalan.

Katanya, selepas terbabas, mangsa memandu naik semula ke atas jalan raya dalam keadaan tidak terkawal lalu berlanggar dengan Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

"Kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang hadapan jenis Perodua Myvi tercampak keluar dari kenderaan dan jatuh ke dalam longkang di sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penumpang belakang Perodua Myvi tercampak keluar ke sebelah kanan jalan dan mengalami kecederaan di kepala, manakala seorang penumpang Toyota Hilux cedera di kepala di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut ," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

"Empat lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 8:17 PM