BAK kut teh. FOTO Wikipedia
BAK kut teh. FOTO Wikipedia
FMT

Kuala Lumpur: Hidangan sup babi, bak kut teh yang dikatakan hidangan berasal dari Klang, diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada Warisan Negara.

Portal FMT melaporkan, hidangan itu antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara oleh Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin.

Pengumuman itu disiarkan dalam Warta Kerajaan semalam, yang turut menyenaraikan makanan dari Johor iaitu burasak, mi kolok dan nasi ambeng; kuih tradisional seperti dodol, kuih genggang/kuih lapis, kuih karas dan uthappam; jeruk tuhau; dan minuman air katira sebagai makanan Warisan Negara.

Bak kut teh, sup babi yang diselitkan dengan herba aromatik dan rempah ratus, adalah hidangan kegemaran masyarakat Cina di negara ini.

Ia dikatakan berasal dari masyarakat Hokkien di Pelabuhan Klang, yang mana ia diambil sebagai tonik berkhasiat dalam kalangan buruh dan kuli pada awal abad ke-19.

Bagaimanapun, asal-usulnya dipertikaikan dengan tuntutan dari Singapura, yang juga mendakwa nasi ayam Hainan sebagai warisan unik Singapura.

Tahun lalu, perbahasan di parlimen rancak berlaku apabila Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah meminta kerajaan mempertimbangkan mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara.

Jabatan Warisan Negara sebelumnya memasukkan makanan tempatan terkenal lain ke dalam senarai warisan makanannya, dengan nasi lemak, laksa, ketam cili dan char kuey teow Pulau Pinang dalam senarai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:10 PM