MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing. FOTO Bernama
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing. FOTO Bernama
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara tidak ada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menjelaskan bahawa pengiktirafan makanan itu dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Justeru, beliau memohon semua pihak termasuk ahli Parlimen supaya menghormati kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, demi menjaga perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

"Bak kut teh bukan satu makanan yang baru ada pada hari ini. Kita tahu makanan bak kut teh dalam masyarakat ini, ada yang halal, yang tidak halal, bak kut teh vegetarian pun ada.

"Perdana Menteri menubuhkan Kerajaan Madani, semua kaum kita jaga. Saya rasa tidak payah jelaskan panjang lebar," katanya ketika penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin, memaklumkan 10 makanan diwartawkan sebagai objek warisan melalui kuasa diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta 645.

Selain bak kut teh yang juga makanan tradisional masyarakat Cina, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.

Isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan negara itu turut mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan pemimpin politik di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 3:31 PM