Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang mengaitkan hidangan tradisi masyarakat Cina sebagai makanan tradisi rakyat Malaysia mencetuskan riuh di Dewan Rakyat, hari ini.

Pembangkang mempersoalkan sejak bila hidangan itu menjadi satu daripada makanan tradisi di Malaysia.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, dalam 10 makan tradisi paling popular di Malaysia tidak menyenaraikan bak kut teh; malah, 30 makanan tradisional pelbagai kaum di negara ini juga tidak mempunyai makanan jenis itu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus Akbar Khan yang menjawab dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan itu turut bersetuju untuk memasukkan sesuatu jenis makanan supaya dikategori sebagai makanan tradisi, namun ia perlulah boleh dimakan oleh semua rakyat Malaysia.

Mohd Suhaimi: Sejak bilakah bak kut teh ini jadi makan tradisi Malaysia? Dalam saya melihat 10 makan tradisi popular di Malaysia, tiada bak kut teh. 30 makanan tradisional kaum-kaum di Malaysia juga tiada bak kut teh. Adakah menteri setuju masukkan makanan ini dalam permohonan seperti yang diminta Tebrau?

Khairul Firdaus: Saya setuju, kerana ia perlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan semua rakyat Malaysia. Kalau bak kut teh ayam… bolehlah. Tapi kalau bak kut teh seperti yang dibangkitkan oleh Tebrau, dia tidak jelaskan bak kut teh jenis apa.

Sebelum itu, Jimmy meminta apakah usaha Motac untuk memastikan makanan tradisional rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabatnya sebagai makanan kebangsaan dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 1:39 PM