BAK Kut Teh. FOTO Arkib NSTP
BAK Kut Teh. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Isu menu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan negara mendapat perhatian di Dewan Rakyat.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) semasa sesi perbahasan titah diraja mempersoalkan, mengapa isu bak kut teh yang disenaraikan itu dijadikan konflik dan mahu dipolitikkan dalam negara ini.

"Kalau guna daging babi, jadi tak halal, jadi haram. Gunalah daging yang boleh kita makan. Daging kambing boleh, daging lembu boleh, daging ayam boleh, daging itik boleh, daging angsa boleh.

"Apa yang menjadi masalahnya? Ini yang kita nak jadikan konflik dalam negara kita. Sedangkan ada banyak makanan lain. Dodol pun jadi makanan warisan. Mi kolok dijadikan sebagai makanan warisan.

"Semua benda dalam negara kita ini nak dipolitikkan. Ini jadi masalah dalam negara kita," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Teresa Kok (PH-Seputeh) pula semasa perbahasannya melahirkan rasa kecewa terhadap seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan berkenaan isu berkenaan.

"Saya berasa kecewa dengan kritikan yang dilontarkan oleh seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan berkenaan isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya.

Walaupun tidak menyebut nama pemimpin berkenaan, ia dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang baru-baru ini terbabit dengan pertikaman lidah dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di media sosial masing-masing.

Teresa Kok berkata, salah satu tujuan memasukkan sesetengah makanan ke dalam senarai makanan warisan adalah bagi menarik pelancong asing khususnya dari Asia Timur seperti China, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan dan sebagainya.

"Mengikut Presiden Malaysian Chinese Tourism Association, terdapat lebih 100,000 pelancong dari negara China melawat Malaysia menjelang Tahun Baru Cina, sejak 5 Februari tahun ini.

"Dalam tempoh ini, wujudnya 5,000 kumpulan pelancongan dan pelancong ini membelanjakan antara RM1 hingga RM1.5 bilion di negara kita.

"Kita tahu semua negara di dunia ini bersaing untuk menarik pelancong dari negara China ke negara masing-masing.

"Malaysia juga terpaksa bersaing dengan negara-negara jiran kita di Asia Tenggara. Salah satu tarikan bagi pelancong dari negara China ialah kepelbagaian bahasa, budaya dan makanan di Malaysia," katanya.

Selain itu katanya, bak kut teh juga makanan dicipta oleh warga Cina di negara ini dan sekiranya tidak menyenaraikannya sebagai makanan warisan, dikhuatiri negara jiran akan membuat tuntutan bahawa ia milik mereka.

"Negara jiran akan membuat tuntutan dan pelancong asing tidak akan sedar bak kut teh ini adalah makanan yang berasal dari Klang, Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 5:42 PM