MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing. FOTO Hairul Anuar Rahim.
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing membidas Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dengan mengingatkannya agar tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis.

Beliau juga menyarankan agar Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu merujuk kepada kamus sekiranya tidak pasti mengenai definisinya, susulan isu bak kut teh yang dibangkitkan.

"Berkaitan sup bak kut teh, 'bak' merujuk kepada daging. Saya telah beberapa kali menekankan bahawa herba yang digunakan adalah halal. Jenis daging yang digunakan boleh tukar.

"Boleh tambahkan ayam, maka ia akan menjadi 'chi kut teh'. Jika anda tambahkan makanan laut, ia menjadi 'seafood kut teh'. Jika anda tambah kambing, ia menjadi 'kambing kut teh'.

"Sebaliknya, (Dr Muhamad) Akmal banyak kali menyebut 'babi bak kut teh'. Sedangkan, 'bak' membawa maksud daging secara umum, bukannya babi sahaja. Saya sarankan Dr Muhamad Akmal merujuk kamus jika tidak pasti definisinya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan Dr Muhamad Akmal agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memecatnya berikutan beberapa isu baru-baru ini.

Dr Muhamad Akmal dipetik berkata, isu itu termasuk bak kut teh yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara dan penurunan pangkat Ketua Pengarah Tourism Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, Dr Muhamad Akmal sebagai seorang pemimpin generasi muda seharusnya menilai dan menganalisis fakta sebelum bercakap kepada khalayak ramai.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia seharusnya saling menghormati antara satu sama lain serta lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan, mengambil kira impaknya terhadap perpaduan dan ketenteraman negara.

"Tetapi isu seperti ini telah berulang kali dimainkan, yang dilihat seolah-olah hanya kerana memenuhi kepentingan politik peribadi," katanya.

Tiong berkata, beliau sebagai rakyat Malaysia masih waras dan tidak mungkin memaksa orang ramai melanggar peraturan atau amalan agama sesiapa menerusi pengiktirafan makanan warisan.

"Di Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) juga terdapat ramai pemimpin dan kakitangan beragama Islam, sudah tentu saya amat memahami serta menghormati semua pihak.

"Sebelum YB (Dr Muhamad Akmal) mengetengahkan isu ini, apakah anda berfikir untuk menghormati orang lain? Kita semua harus saling menghormati dan mempromosikan warisan negara kita.

"Jika bukan kita sendiri, siapa lagi yang akan mengiktiraf warisan kita? Bukankah kepelbagaian dan kemajmukan merupakan keunikan Malaysia?," katanya.

Muhamad Akmal jawab balik Menteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 10:48 PM