BAK kut teh. FOTO Arkib NSTP
BAK kut teh. FOTO Arkib NSTP
Hafiz Ithnin

Serdang: Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac) bakal mempertimbangkan makanan tradisional kaum cina, bak kut teh untuk dimasukkan di dalam senarai warisan kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, secara asasnya makanan itu adalah campuran herba dan daging yang diletakkan di dalamnya terpulang kepada kepada penyedia.

Beliau berkata, tidak menjadi isu untuk menjadikan bak ku teh sebagai makanan warisan kebangsaan kerana ia boleh menonjolkan menu tempatan kepada pengunjung luar terutamanya.

"Saya akan memaklumkan kepada pihak kementerian supaya isu ini dilihat secara serius.

"Sudah tentu jika bak kut teh babi, kita akan meminta orang bukan Islam mencubanya.

"Sebenarnya kini terdapat pelbagai variasi hidangan bak kut teh antaranya ayam, makanan laut atau kambing.

"Jika ramuannya halal, kita akan bagi untuk yang halal mencubanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Kelestarian Pembungkusan Makanan Warisan Asean dan pengkomersialan untuk warisan dunia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Bengkel yang bertemakan 'Mengglobalkan Makanan Warisan Asean' itu memberi tumpuan kepada pentingnya memelihara teknik pembungkusan makanan warisan dan meneroka peluang untuk memasarkan produk makanan unik ini di pasaran global dalam mencipta peluang pertumbuhan ekonomi industri makanan rantau ini.

Pada 7 Jun lalu, ia menjadi tumpuan di Dewan Rakyat selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Ia susulan pertanyaan daripada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) berhubung usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab pertanyaan itu menjelaskan makanan yang dimasukkan di dalam makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini.

Ketika ditanya mengenai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2025, Tiong King berkata, acara berkenaan akan ditunda kepada 2026 memandangkan banyak negara yang baharu sahaja membuka pintu sempadan dan memerlukan masa untuk aktiviti pelancongan luar.

Selain itu, katanya Motac juga berada di landasan yang betul untuk mencatatkan kehadiran lima juta pelancong ke Malaysia pada suku pertama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 1:52 PM