Tinjauan tukang jahit warga asing di Sungai Besi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tinjauan tukang jahit warga asing di Sungai Besi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Faktor perkhidmatan tukang jahit warga asing yang mudah didapati dan pantas menyebabkan orang ramai memilih untuk menggunakan khidmat mereka.

Kakitangan swasta, Noor Syahida Md Sofian, 35, berkata ini disebabkan tukang jahit tempatan kebanyakannya beroperasi dari rumah, selain kadang kala tempahan lewat disiapkan.

"Kedai tukang jahit warga asing terutamanya Bangladesh ini senang nak jumpa. Contohnya dekat super market ada, bawah eskalator ada dan lot-lot kedai kawasan perumahan juga banyak.

"Berbanding dengan tukang jahit tempatan, kadang-kadang lambat siap disebabkan mereka beroperasi dari rumah, diselang-seli pula dengan kerja rumah dan menjaga anak," katanya.

Noor Syahida berkata, dari segi servis perkhidmatan, tukang jahit warga asing juga cepat dan tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Dari segi harga pula, tak murah sangat. Tapi kita boleh berunding dengan mereka. Manakala dari segi kualiti, kebanyakan tukang jahit warga asing ini banyak yang kerja di kilang baju.

"Jadi, perkhidmatan mereka itu pada saya baik untuk pakaian harian. Di samping itu, tukang jahit warga asing ini juga mesra," katanya. Bagaimanapun katanya, di sebalik monopoli oleh tukang jahit warga asing ini, ia perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa.

"Undang-undang kita tak sepatutnya longgar dengan warga asing ini mudah untuk berniaga dan menyalahgunakan permit kerja," katanya mahu kerajaan sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga terbabit.

Kakitangan swasta, Mohamad Rizuan Kussarin, 35, berkata dia menggunakan khidmat tukang jahit warga asing disebabkan berhampiran dengan kediamannya.

"Tukang jahit warga asing ini berhampiran dengan tempat tinggal. Lagipun hasil jahitannya juga memuaskan.

"Dari segi 'service' oleh warga asing ini juga cepat dan harganya berpatutan. Disebabkan itu saya sering menggunakan khidmat mereka," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Rizuan mencadangkan agar kerajaan memberikan latihan mencukupi kepada belia di negara ini agar perkhidmatan itu tidak dimonopoli oleh warga asing.

"Latihan mencukupi perlu disediakan untuk belia agar minat timbul dan kerajaan juga perlu memberikan bantuan secukupnya suapaya mereka dapat bersaing," katanya.

Berita berkaitan:

Dimonopoli warga Bangladesh!

26,108 lesen dibatalkan sehingga Disember lalu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 12:30 PM