RINDUKAN ketenangan di Perlis.
RINDUKAN ketenangan di Perlis.
Ridzuan Abdul Rahman


SEAWAL menapak dalam lakonan lagi Rita Nadira, 24, sudah diberikan watak antagonis atau jahat yang kebiasaannya menjadi sasaran kebencian peminat.

Terbaharu, Rita diberikan watak sebagai Mazni, seorang isteri yang mengambil kesempatan dalam drama bersiri Ayahanda yang kini tular dalam kalangan penonton.

Rita tidak menafikan menerima banyak pertanyaan daripada peminat yang bertanyakan perkara ini.

"Sebelum ini saya bawa watak jahat dalam bentuk lain tetapi dalam Ayahanda, saya jadi isteri yang bersifat batu api dan hanya buat baik depan suami.

"Apabila buat watak ini, saya tahu bagaimana kesan yang akan diterima dan sudah bersedia untuk terima kecaman daripada penonton. Namun, ia tidak seteruk seperti yang diterima menerusi lakonan dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu," katanya.

Rita yang bermula dari dunia peragaan mula melangkah dalam bidang lakonan sebagai budak nakal menerusi drama Kisah Seram Hostel, manakala dalam Jujur Nikahi Aku, dia adalah seorang kakak yang jahat.

"Saya terbuka apabila ditawarkan watak begini. Namun, saya percaya akan ada pengarah boleh beri saya watak lain. Tapi sekarang saya dikenali dengan watak jahat dan mereka nak gunakan saya sepenuhnya untuk watak begini.

"Mungkin dalam dua tiga tahun nanti akan ada watak lain. Pengarah yang kenal saya pasti tahu saya bagaimana. Peluang akan tiba nanti. Saya anggap watak jahat adalah platform untuk saya dikenali," katanya.

RITA mengakui peningkatan pengikut di media sosialnya menerusi drama-drama yang ditayangkan.
RITA mengakui peningkatan pengikut di media sosialnya menerusi drama-drama yang ditayangkan.

Begitupun pelakon yang mempunyai pakej sempurna ini mengakui peningkatan pengikut di media sosialnya menerusi drama-drama yang ditayangkan.

"Tapi tidak terus mendadak seperti sesetengah pelakon lain. Saya pun sedar siapalah saya. Namun, sebagai pelakon saya suka cabar diri untuk bawa pelbagai watak.

"Sebenarnya ramai tidak tahu saya ditawarkan watak Mazni pada saat akhir dan baca skrip pun saat akhir. Jadi semasa di set, saya banyak bertanya kepada Fikry yang berlakon sebagai suami, pengarah dan pelakon-pelakon lain.

"Saya amat kesuntukan masa. Sekali baca skrip terus masuk set. Untuk itu saya tanya pendapat setiap pelakon mengenai lakonan saya. Mereka dah baca skrip awal dan faham keseluruhan cerita," katanya.

Rita mengakui, dia terpaksa belajar pelbagai perkara dan rajin membuka mulut bertanya bagi menghasilkan lakonan yang memuaskan penonton.

"Itulah cara yang saya buat. Pelakon lain pun banyak kongsi pengalaman. Saya terbabit sekitar tiga minggu untuk penggambaran di Perlis. Waktu mula sampai baru saya tahu cakap drama ini dalam loghat utara. Namun, watak saya sebagai orang bandar.

"Pada mulanya saya tanya pengarah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar sama ada saya kena cakap loghat utara tapi saya diminta bercakap macam biasa," katanya.

RITA mempunyai pakej sempurna untuk mencipta nama dalam seni.
RITA mempunyai pakej sempurna untuk mencipta nama dalam seni.

Menurutnya, sekiranya diberikan lebih masa, dia pasti memberikan lakonan yang lebih baik lagi.

"Ikutkan mana-mana pelakon pun takkan puas hati dengan lakonan sendiri. Namun pada saya lakonan sebagai Mazni dianggap sudah okey.

"Drama ini pun sudah ditayangkan dan tinggal beberapa episod lagi untuk tamat. Saya pun dah buat yang terbaik dan harap peminat suka.

"Secara peribadi saya sukakan drama ini kerana ceritanya tak klise. Tak dinafikan saya rindukan Perlis. Seronok menjalani penggambaran di sana kerana suasananya yang tenang," katanya.

Menurutnya, dia pernah berada di Perlis selama tiga bulan untuk penggambaran drama Tak Sempurna Mencintaimu dan sudah hafal jalan di negeri itu.

Rita kini menunggu tayangan drama Juliet di RTM yang menemukannya dengan Redza Rosli sebagai pasangan hero dan heroin.

Dia juga bakal menyambung semula penggambaran drama Jamu Nesan terbitan Darkwave Pictures Sdn Bhd sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:40 AM