JARANG muncul dalam drama TV, Johan terharu lakonan menerusi Menanti Senja terima maklum balas baik penonton.
JARANG muncul dalam drama TV, Johan terharu lakonan menerusi Menanti Senja terima maklum balas baik penonton.
Ridzuan Abdul Rahman


BERSYUKUR apabila drama lakonan terbaharunya menerusi Menanti Senja diminati ramai dan ditunggu tayangannya oleh penonton.

Malah, pelakon Johan As'ari gembira kerana pembabitan menerusi drama terbitan Anomali Media & Production ini dapat mengembalikan semula popularitinya di mata peminat.

"Masa awal-awal dapat tawaran dari produksi, saya amat gembira kerana agak lama tidak muncul di TV. Terima kasih kepada mereka kerana tawarkan watak Syukri.

"Paling mengujakan apabila nama saya diterima oleh TV3. Besar jasa mereka kepada saya kerana TV3 yang mempopularkan saya menerusi drama bersiri Juvana pada 2011.

"Watak saya sebagai Botak ketika itu meniti di bibir peminat. Apabila jarang muncul di TV, saya rasa resah gelisah pula. Perasaan saya kini terharu yang sukar digambarkan.

JOHAN bersyukur rezeki masih ada dalam usia 13 tahun pembabitan dalam lakonan.
JOHAN bersyukur rezeki masih ada dalam usia 13 tahun pembabitan dalam lakonan.

"Sebabnya kita ada peminat dalam pelbagai kategori iaitu filem, TV dan penstriman Over-The-Top (OTT). Dapat tampil semula di TV satu kepuasan buat saya," katanya.

Sebagai Syukri, Johan atau Johan Ariff As'ari, 37, perlu menghayati kehidupan seorang suami, ayah dan anak tunggal.

"Pada saya ia sangat mencabar. Saya amat berterima kasih kepada Trisha Ooi yang jadi pasangan lakon saya. Dia sangat membantu saya dari segi keserasian dan penghayatan watak.

"Begitu juga pelakon lain iaitu Khatijah Tan, Faizal Hussein serta yang lain. Saya sangat berterima kasih dengan mereka. Ini kejayaan bersama.

"Sebenarnya saya masih aktif berlakon, tetapi lebih menjurus kepada filem antaranya Mat Kilau, Air Force The Movie dan sebagainya," katanya.

Menanti Senja ibarat peluang keemasan yang sudah lama dinantikan.

Justeru Johan mengambil serius lakonannya dan tidak main-main ketika bekerja.

"Saya bersungguh-sungguh beri tumpuan kepada kerja seni saya. Alhamdulillah... dengan panduan dan sokongan dari pengarah Faizal Nadxaman dan semua, ia membantu kejayaan drama ini.

"Ternyata rezeki saya apabila nama saya kembali meniti di bibir peminat. Pergi ke mana-mana pun orang menegur dengan nama ini.

"Syukur saya kini ditawarkan beberapa drama lain. Sekarang saya 'shooting' drama bersiri untuk platform OTT. Selain itu, ada juga tawaran lain termasuk telefilem yang 'shooting' di Perlis. Saya juga terbabit untuk iklan raya satu jenama terkenal," katanya.

JOHAN (berdiri kiri) ketika sesi baca skrip dan menandatangani kontrak filem Memoir Seorang Guru.
JOHAN (berdiri kiri) ketika sesi baca skrip dan menandatangani kontrak filem Memoir Seorang Guru.

Tahun ini juga, Johan akan tampil menerusi filem Memoir Seorang Guru membawakan watak Alias.

"Ceritanya berkisarkan pengorbanan guru. Masa dapat tawaran, saya terus terima kerana teringin nak berlakon dengan pelakon hebat tanah air Datuk Rosyam Nor yang melakonkan watak utama sebagai Cikgu Sunan. Itu kenangan manis saya.

"Tahun ini tahun ke-13 saya dalam industri. Syukur rezeki saya masih berterusan. Mudah-mudahan ada rezeki saya untuk pegang apa sahaja watak seperti watak korporat, romantik dan watak berat meruntun jiwa.

"Mungkin juga saya dapat watak komedi. Harapan saya asalkan kehadiran saya beri impak kepada penonton dan peminat di luar sana. Tanpa mereka siapa saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:00 AM