Norhayati Nordin


Selama beberapa tahun bergelar pelakon, pembabitan Aidit Noh, 30, kini semakin berkembang. Apatah lagi, dia kini meraih peluang untuk mencuba pelbagai watak dan mencabar diri.

Malah, bapa kepada seorang anak ini dapat keluar dari zon selesa yang dulunya lebih tertumpu untuk watak baik saja. Kini, tiba masa Aidit tampil sebagai 'villain' atau watak jahat.

Bakal melakonkan watak Qabil dalam drama terbarunya, Aku Cinta Dia untuk slot Akasia TV3 tidak lama lagi, Aidit mengakui dia amat teruja. Dia tak sangka dapat melakonkan watak jahat juga.

"Selama aktif berlakon dalam tempoh lapan tahun ini, saya lebih banyak mendapat peluang watak hero. Bukan tidak mahu cuba jadi watak 'villain', tapi saya sering tiada rezeki ketika itu kerana dianggap tidak sesuai.

"Cuma, selepas saya muncul membintangi drama Isteri Halal sebagai Zayn itu, mungkin

orang dah boleh nampak saya mampu membawa watak jahat juga," katanya.

Berbicara mengenai watak Zayn yang disifatkan membawa impak besar pada aksi lakonannya, Aidit berkata, Zayn adalah watak jahat yang 'dibenci' penonton kerana memaparkan kecurangan suami kepada isteri apabila berkahwin dua.

"Itu membuatkan penonton yang awalnya suka pada Zayn jadi marah kerana sikap lupa dirinya selepas kaya. Ditambah, ketika Isteri Halal ditayangkan industri hiburan hangat dengan kisah kemelut rumah tangga pasangan selebriti.

"Secara tidak langsung, Zayn tular di media sosial kerana terkena tempias dengan isu semasa yang berlaku. Justeru, 'jahatnya' Zayn di mata penonton ia sekali gus menyerlahkan sisi lain lakonan saya," katanya.

Aidit berkata, cabaran dihadapinya dalam Isteri Halal juga amat besar kerana banyak hati perlu dijaga iaitu isteri tercinta, Nur Atiqah Hanani dan juga pasangan kepada rakan pelakonnya, Uqasha Senrose.

AIDIT akui watak Zayn dalam drama Isteri Halal mencabar.
AIDIT akui watak Zayn dalam drama Isteri Halal mencabar.

"Membintangi Isteri Halal sebenarnya banyak memberi pengajaran kepada saya terutama pada teknik lakonan dan memastikan babak sentuhan dibuat tidak keterlaluan. Saya kena peka untuk kawal emosi dan situasi.

"Ia tidak mudah sebenarnya. Tapi, sebagai pelakon perbincangan dengan pengarah, penulis skrip dan rakan pelakon gandingan amat penting. Dari situ, kita boleh bertukar pendapat untuk mencari solusi terbaik tanpa banyak aksi sentuhan.

"Saya sentiasa berusaha melakukan sebaik mungkin untuk setiap watak lakonan saya. Ini kerana penting untuk penonton mendapat mesej cerita disampaikan menerusi sesuatu babak itu," katanya.

Aidit yang berasal dari ibu kota berkata, dia komited dengan watak yang ditawarkan kepadanya.

Katanya, ia sekali gus menjadi tanggungjawab utama digalasnya apabila kata persetujuan menerima watak itu diberikan.

AIDIT dah sedia lakonkan watak antagonis sebagai Qabil.
AIDIT dah sedia lakonkan watak antagonis sebagai Qabil.

Contohi Alif Satar

Melihat pada adegan mesra dan romantis sesama pasangan pelakon tidak semestinya perlu bersentuhan, Aidit berkata, dia gemar melihat cara Alif Satar berlakon.

Katanya, penyanyi dan pengacara berkaliber itu tidak perlu pun memaparkan aksi bersentuhan semata-mata untuk babak lakonannya menjadi.

"Tengok saja Alif berlakon dalam drama Risik Pada Hati bersama Ummi Nazeera dan Zara Zya, tanpa bersentuhan pun dia boleh mempersembahkan lakonan wataknya dengan baik. Penonton suka dan boleh terima.

"Jadi, saya pun nak buat begitu asalkan ada perbincangan terlebih dahulu. Malah, pada sesi membaca skrip itu seharusnya sebagai pelakon dah kena faham tentang watak, termasuk kreativiti lakonan juga.

"Walaupun isteri memahami karier saya, namun hatinya tetap perlu dijaga. Kalau masih bujang, itu lainlah. Tapi, apabila sudah berumah tangga dan kini ada anak pula, saya kena meneliti banyak perkara," katanya.

Mengulas juga drama Aku Cinta Dia itu, Aidit berkata, penggambaran masih lagi belum bermula.

Katanya, sekarang dia perlu menurunkan berat badan kerana watak Qabil itu memerlukan fizikalnya kurus berikutan ada babak sebagai pelajar kolej.

"Untuk watak Qabil, saya adalah lelaki nakal sejak remaja lagi. Seorang yang tidak mahu bertanggungjawab selepas buat hal tak baik," katanya turut bersedia menerima kritikan dan kecaman netizen selepas drama itu ditayangkan Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 6:00 AM