ZAHIRIL sentiasa bersiap sedia meneruskan kehidupan andai tidak lagi bergelar anak seni.
ZAHIRIL sentiasa bersiap sedia meneruskan kehidupan andai tidak lagi bergelar anak seni.
Ridzuan Abdul Rahman


BAKAT lakonan Zahiril Adzim, 40, tidak perlu dipertikaikan lagi. Berilah apa saja watak, dia pasti berjaya membawanya dengan cemerlang dan berkesan di hati penonton.

Bagaimanapun, Zahiril atau nama sebenarnya, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar yang aktif berlakon sejak 2007 tidak terbuai dengan populariti yang dikecapinya.

Zahiril atau lebih mesra dengan panggilan Bob mengakui tidak mengetahui berapa lama dia boleh bertahan dan mula mencari alternatif lain sebagai pendapatan masa depannya.

"Syukur, saya akhirnya berjaya membuka butik sendiri selepas beberapa tahun menyimpan impian itu.

Ia kini direalisasikan dan juga mungkin sebagai perancangan masa hadapan sekiranya tak lagi bergelar pelakon.

"Butik ini saya buat dengan tangan saya sendiri bersama sahabat saya, Nafiez Zaidi. Tujuh bulan juga kami bertukang. Ia baru saja siap dan baru dilancarkan.

"Alhamdulillah, banyak barang kami sudah diterima orang. Jadi mungkin ia akan jadi 'escape plan' saya. Mungkin akan jadi 'back up plan' sebab saya sedang teroka benda baru.

"Saya buat ini untuk isteri dan anak saya juga. Duit saya untuk mereka. Saya sudah masuk 40 tahun, tiada apa nak kejar lagi," katanya.

Pelakon yang tampil dengan filem pertama KAMI The Movie pada 2008 ini berkata, dia sesekali tidak akan melakukan perkara yang tidak diminatinya.

"Benda ini saya minat. Sebenarnya sudah lama saya nak buat, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Saya menyokong barang-barang tempatan sejak adanya program Tempatan Fest kira-kira 10 tahun lalu.

SEDIA berikan laluan dan menyokong muka baru dalam industri lakonan tanah air.
SEDIA berikan laluan dan menyokong muka baru dalam industri lakonan tanah air.

"Bila tengok negara seberang (Indonesia) mereka sangat menyokong produk tempatan. Pemikiran mereka, dari beli barang luar yang tak asli, baik beli barang tempatan yang asli. Komuniti mereka besar dan bagi banyak peluang dan ruang pekerjaan kepada orang mereka sendiri.

"Itu juga harapan saya untuk jenama kita sendiri supaya jenama tempatan kita meriah, tidak kisahlah dari pakaian, tudung dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, butiknya juga akan dijadikan seperti 'clubhouse' di mana kawan-kawan dan peminat boleh bertandang untuk santai dan meluangkan masa dengannya.

"Mungkin ini cara saya nak berjumpa dengan orang, boleh buat di kedai saya. Kalau di rumah mungkin kurang sesuai," katanya.

Sedia beri laluan

Misi Zahiril sekarang ialah mencuba benda yang lain dan baru kerana tidak pasti berapa lama dirinya boleh bertahan dalam industri seni.

"Sebabnya ada gelombang baru yang sampai dan kita juga mengalu-alukan pelakon baru. Jadi, ini masa mereka dan kita pun boleh duduk di belakang mengajar dan menyokong.

"Bagaimana saya disokong dan diajar oleh 'batch' abang Sahronizam, mereka tak pernah pertikai kehadiran saya dalam industri. Begitu juga saya menyokong budak baru. Saya akan buat benda sama untuk pelakon baru.

"Mungkin saya nak duduk belakang kamera pula, sebab berlakon ini kita penat tubuh badan, tukar baju dan sebagainya, jadi saya rasa mungkin sudah tiba masa saya penat minda saya pula," katanya.

TURUT berdepan gangguan ketika membintangi filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
TURUT berdepan gangguan ketika membintangi filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahiril kini tampil dengan filem terbaru berjudul Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang mula ditayangkan kelmarin.

Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama serta pelakon cilik, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Filem seram ini berkisarkan mengenai seorang penuntut ilmu perubatan tradisional, Rewan (Sahronizam) yang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya.

Rewan berguru dengan Mbah Usu Lijah kerana dia tahu Mbah Usu Lijah memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Zahiril berkata, dia turut berdepan gangguan ketika penggambaran filem ini yang berlaku secara berperingkat.

"Mulanya ia kacau kamera. 'Footage' tiba-tiba ada suara. Bila semak semula, babak siang pun ada suara. Tak logiklah sedangkan jurukamera kami profesional.

"Pengarah pun perasan masa penggambaran. Dia minta jurukamera tukar 'setting'. Selepas beberapa hari mereka beritahu saya, kena buat penggambaran semula kerana ada bunyi bising. Bila saya tengok, betullah bising teruk.

"Jadi, kita masih husnuzon ingat masalah teknikal kamera. Ada banyak dugaan hari ini lain, esok lain. Kalau tengok babak cermin pecah (kereta pengarah) sebenarnya tiada babak itu. Tapi seolah-olah kereta pengarah dipecahkan oleh benda yang tidak diketahui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 6:20 AM