ANTARA cabaran Zahiril ketika jayakan filem One, Two, Jaga.
ANTARA cabaran Zahiril ketika jayakan filem One, Two, Jaga.
HM Digital

Zahiril Adzim berasa dirinya bertuah kerana rata-rata tawaran berlakon yang datang membabitkan pengarah dan barisan pelakon berkaliber ketika ini.

Menurut pelakon filem Pekak ini, setiap tawaran yang datang adalah rezekinya.

“Sebagai pelakon, saya perlu meneliti terlebih dulu setiap skrip yang datang sebelum menerimanya. Jika tawarannya bagus pasti saya sukar menolak,” katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar ini berkata, banyak tawaran berlakon datang daripada mereka yang dia sudah selesa bekerjasama sebelum ini.

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan pengarah yang belum pernah bekerjasama kerana ingin beralih angin.

“Begitu juga pelakon baru asalkan dia serius dan memberi komitmen pada kerjanya. Saya juga suka bekerja dengan pelakon atau heroin baru kerana pengalaman dengan setiap pelakon juga berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, membawa watak Hussein, seorang anggota polis dalam filem One, Two, Jaga memberi cabaran tersendiri buat Zahiril.

Dalam filem arahan Namron itu, Zahiril bergandingan dengan barisan pelakon antaranya Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Sofia Jane, Zaidi Omar dan pelakon Indonesia Ario Bayu serta Asmara Abigail.

Menurut Zahiril, Hussein anggota polis yang bekerja mengikut undang-undang dan tegas menolak rasuah.

“Apa yang mencabar ialah saya perlu melakonkan watak peribadi anggota polis. Maklumlah, tubuh saya kecil dan bimbang ia tidak dapat meyakinkan penonton,” katanya.

Zahiril berkata, lebih mencabar dia juga perlu menjayakan babak pergaduhan dalam hujan.

“Saya juga memakai but dan ia senang tergelincir dalam hujan. Selain itu, saya perlu menjalani sesi latihan empat babak pergaduhan tapi ketika penggambaran, kami terpaksa mengejar masa dan hanya jadikan ia satu babak,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Namron pula, kata Zahiril, dia sudah banyak kali bekerja dengan pengarah berkaliber itu.

“Apabila sudah banyak kali bekerjasama, proses komunikasi menjadi lebih mudah dan dia faham apa yang saya mahukan.

“Dari segi jalan cerita pula, ia membabitkan isu pendatang asing di Malaysia. Saya percaya tidak ada naskhah yang mengangkat isu pendatang asing setakat ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Warkah Di Firenzia membabitkan penggambaran di Florence, Itali.

“Saya perlu belajar bahasa Bugis dalam drama itu. Ada guru yang mengajar di lokasi penggambaran dan selaku penterjemah,” katanya yang turut terbabit dengan penggambaran drama bersiri enam episod berjudul KL Gangster Underworld untuk tayangan di iFlix.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 5:28 AM