ZAHIRIL belum ada niat untuk berhenti menjadi pelakon.
ZAHIRIL belum ada niat untuk berhenti menjadi pelakon.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


PELAKON Zahiril Adzim berhasrat mencuba sesuatu luar kebiasaannya iaitu tugas belakang tabir sebagai pengarah.

Justeru, Zahiril, 39, berharap impiannya untuk menghasilkan karya menarik dari kerusi pengarah tidak lama lagi akan dapat dicapai.

"Saya nak mula mengarah pada tahun ini juga, sebab saya rasa dah sampai masa saya pula bercerita.

"Sekarang saya nampak banyak pelakon hebat. Bila saya tengok mereka, saya rasa bersemangat dan seronok jika dapat buat satu cerita untuk mereka," katanya.

Disoal mengenai cerita yang menjadi pilihan buatnya untuk mengarah, Zahiril berkata minatnya lebih kepada isu yang dekat dengan masyarakat.

"Saya ada terfikir mengenai kisah penghantar makanan (rider Grab), yang jarang sekali orang nak menceritakan realiti sebenar mereka.

"Kisah kehidupan sebenar di kampung juga antara minat saya kerana ia akan menceritakan sesuatu yang dekat dengan masyarakat," katanya.

Zahiril atau nama sebenar Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar menjelaskan isu kemasyarakatan itu sebenarnya perlu dibangkitkan untuk tontonan dan fahaman orang ramai.

Katanya, walau bercadang meneruskan cita-cita sebagai pengarah, belum ada niat untuk berhenti menjadi pelakon di televisyen.

"Sekarang saya sedang berlakon untuk platform Over The Top (OTT), yang kebiasaannya ini adalah projek istimewa dan naskhah besar.

"Saya lebih suka fokus pada naskhah besar," kata Zahiril yang terbabit dalam telefilem berjudul Durjana Pujaan di TV1 arahan Wan Afzam Wan Daud.

Telefilem terbitan Unit Drama TV RTM itu turut dibintangi Sabri Yunus, Amerul Affendi, Azhan Rani, Ammar Titan dan ramai lagi.

Zahiril yang juga pemenang Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 menerangkan pada masa ini dia tidak mengejar banyak perkara, malah dia hanya perlukan cabaran yang mungkin akan membawanya terbang lebih tinggi dalam dunia seni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 6:44 AM