WARUGA: Kutukan Ilmu Hitam kisah pemujaan  membangkitkan semula orang mati
WARUGA: Kutukan Ilmu Hitam kisah pemujaan membangkitkan semula orang mati
Najiy Jefri


PERKATAAN Waruga mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun, ia bermaksud tempat persemadian mayat atau kubur orang yang meninggal dunia bagi kaum Minahasa yang wujud di Indonesia.

Mengikut kepercayaan Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadikan di dalam Waruga dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad berkenaan akan dilahirkan semula pada masa akan datang.

Melihat kepada keunikan kepercayaan berkenaan, ia memberi ilham kepada produksi D' Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

Pengarahnya, Azaromi Ghozali atau Romi berkata, idea untuk menghasilkan filem itu bermula dengan penceritaan seorang penulis dikenali Gawar Sawba'yah mengenai kepercayaan kuno berkenaan.

"Pada masa sama, saya turut mempunyai satu idea cerita seram yang berkait dengan ilmu hitam dan pemujaan mayat. Secara tidak langsung, ia berkait juga dengan kepercayaan kaum Mihanasa ini. Jadi, saya gabungkan dua idea ini dan terhasillah filem ini.

"Filem ini menceritakan mengenai ilmu hitam serta pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang sudah mati. Saya memilih tajuk Waruga sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa," katanya.

Azaromi berkata, beberapa babak seram yang dipaparkan dalam filem itu tidaklah dihasilkan dengan terlalu 'extreme' kerana terikat garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem demi menjaga sensitiviti masyarakat.

Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa itu tidak sesekali menjejaskan jalan cerita dengan babak-babak yang dirasakan kurang sesuai kerana sudah diringankan agar boleh ditonton mengikut klasifikasi tontonan P13.

ANTARA babak seram dimuatkan dalam filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam untuk tatapan penonton.
ANTARA babak seram dimuatkan dalam filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam untuk tatapan penonton.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Februari depan, filem itu menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang pada Mac 2021 lalu selama 20 hari, Azaromi memaklumkan Waruga bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata.

Jelasnya, filem terbaru arahannya itu memberikan kelainan dengan menimbulkan banyak konflik hubungan yang diperkuatkan lagi dengan elemen seram.

"Untuk filem ini, saya menggunakan konsep 'open ending' supaya penonton boleh membayangkan sendiri apa kisah yang berlaku seterusnya.

"Apapun, saya inginkan agar mereka yang menonton filem ini melihat dari sudut positif berhubung mesej yang ingin disampaikan. Misalnya, mengenai segelintir orang yang masih mudah terpedaya dengan penipuan iblis sehingga sanggup melakukan perbuatan yang sesat dan salah di sisi agama," ujarnya

Sementara itu, penerbit D' Ayu Pictures iaitu Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem seram kerana genre itu (seram) adalah salah satu kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan baik.

Ujarnya, selepas kali pertama menerbitkan filem seram Harum Malam pada tahun lalu, beliau berasakan Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang menelan kos pembikinan sebanyak RM1.8 juta akan menampilkan sebuah jalan cerita menarik yang diinspirasikan daripada kepercayaan kuno.

"Sudah tentu sebagai penerbit, pastinya saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan hangat penonton, terutama kepada penggemar filem seram.

"Syukur, buat masa sekarang karya ini juga sudah dilamar oleh tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serentak di negara jiran itu. Malah, filem ini juga bakal ditayangkan dibeberapa negara Asean lain seperti Vietnam, Myanmar, Singapura, Brunei dan Filipina."

"Sekurang-kurangnya dengan kutipan memberangsangkan yang dapat dikutip di pawagam nanti, mungkin filem ini akan ada sambungan atau saya akan terus menghasilkan filem seram yang lain pula," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 6:12 AM