Oleh Norhayati Nordin


Zahiril Adzim bukanlah nama asing di persada lakonan tanah air. Sama ada drama, telefilem mahupun filem, dia sudah membuktikan bakat seni dimilikinya.

Boleh dikatakan, berilah apa saja watak kepada suami pengacara dan pelakon Shera Aiyob itu, pasti Zahiril tidak menghampakan.

Apatah lagi, bapa kepada seorang cahaya mata, Nadi Anaqi yang sudah mencecah usia setahun lebih itu pernah memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22).

Zahiril yang akan muncul dengan filem Rentap di pawagam pada 4 Disember ini berkata, dia bersyukur masih aktif dalam lakonan meskipun sudah berkeluarga.

Pelakon yang mesra dengan panggilan Bob ini berkata, dia lebih berhati-hati ketika menerima tawaran. Katanya, dia tidaklah bersikap terlalu memilih.

"Cuma, sejak sudah berkeluarga dan memilki anak, saya lebih suka menerima tawaran berlakon yang tempoh penggambarannya tidak mengambil masa panjang. Saya akui sekarang pun lebih banyak muncul dalam telefilem berbanding drama episod kerana masa saya di lokasi penggambaran tidak begitu lama.

"Sebagai suami dan ayah, saya ingin menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga yang kini menjadi keutamaan," katanya.

Menurut pelakon berusia 30 tahun ini lagi, dia juga biasanya akan menerima tawaran selepas meneliti skrip dengan mengambil kira jalan cerita menarik, olahan skrip yang kuat serta tempoh penggambaran.

Ujar Zahiril, dia kalau boleh cuba mengelak untuk ambil tawaran yang memerlukan komitmennya berada di lokasi dalam tempoh panjang seperti sebulan lamanya.

Katanya, dalam keadaan sekarang yang mana Nadi Anaqi pun dalam proses membesar, sudah pasti si kecil itu memerlukan lebih banyak perhatian. Jadi, sebagai bapa Zahiril tidak mahu terlepas kenangan dan pengalaman indah melihat anaknya membesar depan mata hanya disebabkan tuntutan karier.

Aktif berlakon bukan kejar populariti

Di kala segelintir pelakon mungkin mengejar populariti dalam karier seni diceburi, namun tidak bagi Zahiril. Katanya, dia lebih mengutamakan karya berkualiti.

Selepas sekian lama bergelar pelakon, Zahiril berkata, mengejar populariti bukanlah perkara utama bagi dirinya. Ujar Zahiril, dia lebih mencari naskhah yang memiliki kekuatan dan keunikan tersendiri.

"Dalam soal populariti, ia bergantung kepada keinginan seseorang artis itu. Sebagai pelakon, mungkin ada yang aktif kerana mahu kukuhkan nama mereka dalam industri.

"Jadi, membintangi drama di televisyen menjadi antara cara untuk mereka memperkenalkan diri kepada penonton.

"Masing-masing sudah tentu ada cara tersendiri. Namun, bagi saya pula populariti bukanlah perkara utama dikejarkan," katanya.

Bagi Zahiril, kini apa yang diinginkan cukup sekadar memegang watak yang boleh menjadi penggerak kepada keseluruhan cerita. Ujarnya, ia sudah begitu memuaskan hati.

Berbicara mengenai filem Rentap arahan Simon Long itu, Zahiril berkata, dia berminat menerima watak Rashdan kerana perlu terbabit dengan sukan ekstrem seperti 'parkour'.

"Jalan cerita filem ini menarik kerana kali pertama penonton akan diketengahkan mengenai sukan 'parkour'. Saya tahu sukan ini masih baru bagi masyarakat Malaysia.

"Walaupun 'parkour' sudah lama, negara ini ia belum begitu menonjol berbanding masyarakat luar negara," katanya

Menurut Zahiril, dia sudah lama tahu mengenai 'parkour' kerana pernah menonton filem Perancis yang paparan watak dalam filem itu perlu bermain sukan itu.

Katanya, dia tertarik menerima tawaran itu kerana sebelum ini tidak tidak mendapat peluang untuk mencuba serta mempelajari teknik sukan berkenaan. Ujar Zahiril, tek­nik asas 'parkour' banyak digunakan dalam Muay Thai dan silat. Jadi katanya, ia tidak sukar kerana dia mampu membelajarinya.

Turut bergandingan dengan pelakon Elfira Loy dan Syafie Naswip dalam filem itu, Zahiril berkata, dia seronok bekerja bersama dua pelakon muda itu kerana mereka berbakat dan tahu tuntutan watak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:00 AM