Beto Kusyairy.
Beto Kusyairy.
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Pelakon, Beto Kusyairy yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam ketika menyertai konvoi motosikal Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak, petang kelmarin kini berada dalam keadaan stabil.

Perkara itu dimaklumkan rakan pelakonnya, Zahiril Adzim yang sepatutnya turut menyertai konvoi motosikal diketuai Datuk Awie itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian atas urusan kerja.

Zahiril ketika ditemui berkata, dia sudah menghubungi Beto petang kelmarin menerusi panggilan video.

"Dia okay. Kami dah buat panggilan video dan dia maklumkan keadaannya. Cuma ada salah seorang anggota konvoi yang mengalami cedera yang agak parah. Namun, Beto tak alami kecederaan yang serius," katanya.

Zahiril berkata, dia memang nak sangat menyertai program berbentuk solidariti seperti itu kerana sangat sensitif dengan situasi yang berlaku terhadap rakyat Palestin sekarang.

Dalam kejadian itu, Beto terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan motosikal lain yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 11:36 AM