IMRAN bersyukur terus dihargai peminat.
IMRAN bersyukur terus dihargai peminat.
Syafil Syazwan Jefri

HAMPIR dua dekad meneroka karier sebagai anak seni, penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain mampu tersenyum melihat perkembangan usaha kerasnya.

Di tahun 2024, nama Imran masih kekal relevan. Bukan saja dalam kalangan peminat generasi awal kemunculannya, malah berjaya menarik peminat dalam kalangan generasi baharu.

Usai acara Konsert Malam Seribu Tahun, Imran, 42, berkongsi rasa bahagia kerana dapat terus menghiburkan lingkungan peminatnya.

"Saya tahu, saya jenis artis yang bagaimana dan berapa besar lingkungan pengaruh saya. Saya tahu, yakin dan akur.

"Saya bermula dengan 'showcase' untuk 50 hingga 60 penonton. Kemudian, 100 kemudian 200 penonton.

"Untuk saya dapat adakan satu acara dengan lebih 600 penonton, digandakan pula dengan beberapa acara (di Singapura dan Kuala Lumpur), saya tak sangka boleh sampai ke tahap ini," katanya.

Memilih lokasi di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur yang mampu memuatkan 600 penonton, Imran sentiasa berpegang dengan prinsipnya iaitu untuk menarik sekurang-kurangnya satu peratus daripada pengikut di media sosial.

"Kenapa saya buat di tempat dengan 600 tempat duduk, kerana ia adalah satu peratus daripada pengikut saya di media sosial secara am.

"Jadi, saya rasa satu peratus daripada 60,000 hingga 70,000 saya di beberapa platform media sosial saya, ia adalah jumlah yang sangat realisitik," katanya.

Imran juga mengajak anak-anak seni lain yang melalui pengalaman panjang sepertinya supaya mengikut prinsipnya yang realistik.

"Saya berharap orang lain yang juga sudah ada karier panjang dan ada satu dua lagu dikenali ramai, ambil prinsip ini dan kita dekati satu peratus itu.

"Kalau dapat lebih dari satu peratus, ia sudah lebih daripada mencukupi," katanya.

Ditanya sama ada dia menjadikan acara konsert ini satu acara ulangan di masa akan datang, Imran mengimpikan satu acara dengan skala lebih besar.

"Kita boleh bercita-cita dan berangan itu percuma. Kalau saya dapat sambung buat kandungan mendekati orang ramai yang menghargai saya dan karya saya, saya nak buat sedikit lebih besar," katanya.

Berkongsi mengenai sambutan peminat yang luar biasa, Imran bersyukur atas penghargaan yang diterima walaupun popularitinya tidak sebesar artis lain.

"Ini kerana saya tak ada lagu selain Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang yang orang kenal. Yang dekat di hati, dua lagu itu.

"Saya cuba sedaya upaya setiap dua ke tiga tahun, untuk keluarkan lagu baharu. Tapi, tak ada yang melekat.

"Tapi, untuk mereka sanggup tunggu, ada, wujud dan sentiasa di sisi, saya rasa sangat berbesar hati. Tak adalah artis yang takkan berbesar hati," katanya.

Imran juga meluahkan rasa syukur kerana dapat mengekalkan nilai relevan sepanjang bergelar anak seni.

"Saya mungkin boleh jadi satu bukti bahawa kita boleh berjaya dan ada pendapatan yang lestari tanpa menjadi terlalu popular.

"Saya tak ada lagu yang tular mahupun lagu yang hit menjuarai carta seperti orang lain. Tapi, bila ada orang yang ingin mendekati seperti ini, saya rasa sangat berbangga dan bersyukur," katanya.

Selain mempersembahkan lagu popularnya seperti Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang, Imran juga mempertaruhkan lagu saduran, Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah.

"Lagu Kekasih Awal dan Akhir saya pilih kerana ia inspirasi untuk saya menulis lagu Jika Engkau Pergi yang dimuatkan dalam album kedua, Punca dan Tindakan.

"Album itu dikeluarkan ketika saya masih bersama label lama dan dipadankan dengan banyak OST dan lagu Jika Engkau Pergi itu menjadi OST drama berjudul Yusof.

"Waktu itu, walaupun apa orang cakap, saya nak sangat karya yang saya hasilkan mirip seperti Kekasih Awal dan Akhir.

"Saya tak boleh menyanyi sehebat Datuk Jamal Abdillah, tapi saya nak dapatkan sedikit sentuhan sebab album Punca dan Tindakan itu 'digayakan' sebagai album dengan lagu lama," katanya.

Acara Konsert Malam Seribu Tahun membawa peminat Imran melalui fasa demi fasa dari awal kemunculannya sehingga buah tangan terbaharunya, Padam dan Pergi.

Acara yang berlangsung secara santai itu turut menyaksikan Imran menyampaikan 20 lagu dan turut memperkenalkan dua bakat baharu sebagai pembuka acara iaitu Mohsein Kush dan Khodi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:00 AM