Imran Ajmain
Imran Ajmain
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain akhirnya tampil dengan karya baharu, Padam Dan Pergi selepas hampir lima tahun menyepi tanpa sebarang produk baharu.

Berkolaborasi dengan komposer muda, Ahmadul Amin, Imran berkata, Padam Dan Pergi adalah usahanya untuk meneroka cabang muzik baharu sekali gus mencipta perjalanan seni yang berbeza berbanding sebelumnya.

"Padam dan Pergi adalah personaliti yang berbeza daripada gaya biasa saya. Lagu ini mencerminkan perkembangan peribadi, meneroka stail baru dalam bunyi dan penceritaan.

"Saya terdetik nak lancarkan lagu ini selepas setahun membuat persembahan di acara indie apabila penonton semua hafal dan nyanyikan apa jua lagu yang dipersembahkan atas pentas bersama-sama penyanyinya. Ini untuk mereka semua," katanya.

Menurut Imran, pelancaran lagu baharunya itu selaras dengan perancangan konsert mini keduanya di Singapura pada 12 Januari depan dan persembahan berskala sama di Kuala Lumpur tahun depan.

"Penerbitan single ini diselaraskan secara strategik dengan Konsert Mini Malam Seribu Tahun Imran Ajmain yang akan datang di Singapura pada 12 Januari ini. Konsert tersebut juga diusahakan nanti untuk penggemar di Kuala Lumpur.

"Saya akan mempersembahkan lagu baharu ini sebagai sorotan malam konsert, menawarkan penggemar pengalaman secara langsung bunyi baru ini yang melambangkan pemisahan daripada balada lembut mendayu-dayu yang sinonim dengan saya," ujarnya.

Bercerita mengenai lirik Padam Dan Pergi, Imran berkata, lagu itu merungkai hubungan kompleks yang tidak kena haluan, dengan lirik ringkas yang menyentuh, menggambarkan dia sebagai seorang kekasih yang 'merentan' mencari babak baru dalam hidupnya.

"Kolaborasi dengan komposer muda berbakat seperti Ahmadul Amin ini menandakan pemisahan yang ketara daripada karya terdahulu saya dengan persembahan muzik bunyi 'fast-tempo' pop rock yang dipacu oleh gitar elektrik.

"Saya mahu mengajak pendengar bersama dalam perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan yang lebih cerah. Gitar elektrik mengambil peranan utama, menambah dimensi segar kepada repertoire muzikal saya.

"Padam Dan Pergi merupakan pengakuan pertumbuhan dan sumpah janji seniman untuk memajukan seninya," kongsi penyanyi Seribu Tahun itu.

Untuk info, Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain adalah pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis dan band Malaysia, Singapura, Indonesia yang dipanggil Satu Malam di Singapura.

Siri konsert tersebut dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) bekerjasama dengan Gumbira dan A'Art (Singapura) di Victoria Theatre, Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 4:45 PM