MEER Nash teruja dapat peluang rakam semula lagu Seribu Tahun.
MEER Nash teruja dapat peluang rakam semula lagu Seribu Tahun.
Norhayati Nordin

SEBUT saja nama penyanyi Imran Ajmain, pasti peminat muzik tanah air lebih mengingatinya dengan lagu Seribu Tahun.

Apatah lagi, karya itu pernah menjadi lagu tema drama Kerana Cintaku Saerah di TV3.

Seiring peredaran waktu berlalu dan usia lagu yang diterbitkan pada 2007 itu pun melebihi sedekad, maka suntikan muzik segar harus dibuat bagi memenuhi cita rasa pendengar masa kini.

Mengambil kira irama lagu itu yang begitu membuai rasa dan menyentuh jiwa, jadi tidak pelik apabila Seribu Tahun boleh 'trending' di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Dengan kerjasama TikTok dan Universal Music Malaysia, peluang menyanyikan semula lagu Seribu Tahun itu diberikan kepada bakat baharu dikenali Meer Nash.

Pemilihan pemuda ini dilihat tepat kerana potensinya dalam bidang seni suara.

Mengulasnya, Meer Nash atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul berkata, dia sangat teruja kerana namanya yang menjadi pilihan Tik Tok dan Universal Music untuk menyanyikan semula lagu Seribu Tahun itu sekali gus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan.

"Apabila pihak TikTok memaklumkan lagu itu 'trending' kembali dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculannya semula, saya sendiri terkesima. Ditambah lagi, dalam ramai-ramai penyanyi yang ada, saya dipilih oleh mereka.

"Tak dinafikan, saya sendiri secara peribadi amat meminati lagu Seribu Tahun. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama," katanya.

Ujarnya yang mesra disapa Meer, perancangan menjadikan usaha berkenaan suatu kenyataan dimulakan pada 29 Mac lalu.

Malah, katanya segala mesyuarat dan perbincangan dibuat menerusi aplikasi video Zoom berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini.

"Perbincangan lanjut yang dibuat turut membabitkan pemuzik untuk susunan semula lagu dan alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pada 18 Mei lalu saya dapat merakamkan semula lagu Seribu Tahun di RMP Production di Damansara Perdana.

"Saya berjaya menyiapkan proses rakaman lagu sekitar beberapa jam saja. Tak dinafikan, lagu ini sangat meruntun jiwa saya dan perkara paling mencabar dilakukan ketika rakaman ialah di bahagian harmoni.

"Namun, nak dijadikan cerita, emosi itu jadi terbawa-bawa lagi kerana saya ketika itu baru putus cinta. Jadi, situasi patah hati yang masih dirasai memudahkan saya menyelami setiap bait-baik lirik lagu berkenaan," katanya.

Ditanya adakah dia pernah bertemu Imran, pemuda ramah ini berkata, dia ada berjumpa penyanyi berkenaan sekitar beberapa tahun lalu.

"Saya tidak mengenalinya (Imran) secara rapat. Tapi, kami pernah berjumpa dalam acara hiburan.Walaupun kali pertama berjumpa dan saya bukan siapa-siapa ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu, saya meminatinya.

"Apapun, rumusan saya terhadap lagu Seribu Tahun ini ialah ceritanya yang berkisar pada rasa kekesalan dan kehilangan dialami terhadap insan tersayang sama ada ahli keluarga ataupun kekasih," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata, pemilihan lagu Seribu Tahun itu dibuat berdasarkan impak tular yang dicatat sejak awal tahun ini.

"Lagu berkenaan kembali tular di TikTok sehingga menembusi carta lagu hit Malaysia di stesen radio popular. Setakat ini, lagu Seribu Tahun juga sudah mencapai lebih daripada 41 juta paparan dan 20,000 video dimuat naik di aplikasi TikTok," katanya.

Bagi peminat muzik tanah air, lagu ini sudah boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 13 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:30 AM