Imran Ajmain ketika ditemubual media
Imran Ajmain ketika ditemubual media
Syafil Syazwan Jefri

 

Petaling Jaya: Penyanyi, Imran Ajmain menganggap situasi tegang yang mengaitkan namanya dengan hantaran isteri kepada penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, Datin Azrene Ahmad di Instagram Story minggu lalu hanyalah satu titik hitam kecil buat perjalanan hidupnya. 

Imran, 42, ketika ditemui selepas malam pertama Konsert Malam Seribu Tahun yang berlangsung semalam berkata, dia memilih untuk membiarkan perkara itu selesai secara dalam keluarga. 

"Kalau saya dilihat sebagai ahli keluarga, saya rasa lebih aman dan damai kalau saya biarkan benda ini dalam keluarga sahaja. Saya rasa, ia lebih beradab dari pihak saya. 

"Secara keseluruhan, saya rasa, benda ini hanyalah titik hitam yang sangat kecil," katanya. 

Menurut Imran, walau apa yang berlaku, dia tahu, keluarga Datuk Fazley sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya. 

"Saya rasa, saya ada banyak benda yang perlu ditumpukan dan saya tahu mereka mendoakan yang terbaik untuk saya. 

"Saya tahu, saya mendapat doa restu daripada mereka sebab selama ini, kami sangat akrab. 

"Saya tak ada rasa terkilan atau kurang sedap di hati. Saya sangat positif. Saya masih bercakap dengan anak-anak dan Datuk Fazley. Jadi, tak ada masalah," katanya. 

Ditanya sama ada dia ada menghantar jemputan kepada keluarga itu, Imran berkata, jemputan sudah dihantar. 

"Memang saya jemput, cuma saya rasa mungkin pesanan itu tak sampai atau sampai ke telinga yang tak mahu mendengar. 

"Jadi, saya hanya doakan yang baik dan harapkan yang sama sahaja. 

"Saya yakin, saya dah buat yang terbaik dan saya rasa, saya tak ada masalah dengan mereka. Saya berharap, mereka juga tak ada masalah dengan saya," katanya. 

Keluarga Fazley diwakili adiknya, Raf Yaakob  memeriahkan acara yang menampilkan 20 lagu indah disampaikan Imran di hadapan 600 penonton. 

Terdahulu, Azrene memuat naik hantaran di Instagram Story meluahkan isi hatinya mengenai tiada sebarang jemputan diterima untuk acara konsert, namun tidak menyebut sebarang nama. 

Netizen bagaimanapun mula membuat spekulasi kerana hantaran itu dimuat naik pada hari sama, selepas Imran mengadakan sidang media untuk mempromosikan Konsert Malam Seribu Tahun ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 1:06 PM