PERSEMBAHAN duet Amir dan Zamani menghangatkan konsert durasi tiga jam itu.
PERSEMBAHAN duet Amir dan Zamani menghangatkan konsert durasi tiga jam itu.
Ramlah Zainal


KONSERT UK'Slam Musical yang menggabungkan dua band terkenal era 1990-an iaitu UK's dan Slam berkongsi pentas buat julung kalinya berjaya menarik lebih 5,000 penonton di Stadium Malawati, Shah Alam, di sini, baru-baru ini.

Lebih bermakna, konsert berdurasi tiga jam itu nyata mengimbau nostalgia peminat dengan rangkaian lagu popular ciptaan komposer legenda, Saari Amri.

Penyanyi UK's, Amir atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Mohammad Yusuf, 55, berkata, konsert itu juga satu penghormatan buat Saari terhadap jasa dan sumbangannya dalam menghasilkan lagu popular sepanjang tiga dekad pembabitan kumpulan UK's dan Slam dalam industri muzik tanah air.

"Konsert ini adalah 'malam Saari Amri' kerana 90 peratus dari 30 lagu yang kami sampaikan adalah ciptaannya.

"Saya percaya konsert ini mengimbau nostalgia peminat dengan lagu-lagu popular UK's. Siapa yang 'bercinta' dengan lagu-lagu UK's?," katanya yang turut mendapat sorakan penonton.

Bagi Saari pula, dia juga sangat berbesar hati apabila konsert gabungan dua kumpulan terkenal itu memberi penghormatan pada lagu-lagu ciptaannya dulu.

"Saya sangat bangga kerana karya-karya saya masih diterima peminat generasi sekarang," katanya ketika diminta memberikan ucapan kepada penonton di pentas pada malam itu.

Selain Amir, UK's dianggotai Rozdenil Toni (gitar), Mohamad Saleh Mohd Alias (bass), Amiruddin Shariff (dram) dan Mustafa Kamal Ahmad @ Mus Satira (gitar).

Mengenai konsep persembahan pula, konsert UK'Slam dibahagikan kepada beberapa segmen dari segi garapan, susunan dan sentuhan penceritaan melalui elemen visual dan muzikal yang digabungkan bersama.

Tirai konsert dimulakan dengan kumpulan UK's dengan lagu Rhythm Si Jantung Hati.

Mereka meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu hits UK's seperti Untuk Apa, Cintaku, Kekasih di Menara, Rondo Cinta Buta, Kau Satu-Satunya, Pahit Akan Manis Akhirnya, Satu Lilin Sehening Malam, Di Luar Kemampuanku dan Kembali Mencari.

Menyusul selepas itu, Zamani pula mengambil alih pentas dengan menyampaikan lagu Kembali Merindu.

Zamani meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu hits kumpulan Slam seperti Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia, Entah Mengapa, Rayuan di Puncak Genting dan Maria Mariana.

Menerusi lagu Maria Mariana yang juga lagu runut bunyi filem pecah panggung yang menggunakan judul sama itu, Zamani mengundang dua peminat untuk menyanyi bersama dengannya di pentas.

Selain Zamani, Slam dianggotai Shah (gitar), Eddie Ahmad (keyboard), Nor Azli Masrani (bass) dan Othman Khalid (dram).

Sementara itu, persembahan kemuncak konsert pula pastinya gabungan duet Amir dan Zamani di pentas secara akustik pada malam itu dengan rangkaian lagu seperti Jika Kau Rasa Gentarnya, Seksa, Nur Kasih, 'medley' Sebak dan Manisnya Rindu.

Kehangatan konsert UK'Slam diteruskan dengan persembahan lebih bertenaga menerusi segmen elektrik dengan rangkaian lagu lagu hits sepanjang zaman seperti Buat Seorang Kekasih, Siapa Yang Rampas Cintaku, Kembali Terjalin, Bila Diri Disayangi, Gerimis Mengundang dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Rata-rata penonton terhibur dengan persembahan mantap secara duet Amir dan Zamani yang menyampaikan lagu hits mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:30 AM