MUHAMMAD Daiyan Aimar ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHAMMAD Daiyan Aimar ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Alias Abd Rani

Batu Pahat: "Mami kerap berpesan supaya tidak meninggalkan solat dan jangan nakal. Mami pesan dengar cakap ayah dan ibu.

"Mami sangat baik dengan saya sebab itu saya sedih bila mami dah tiada," kata Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan, 10, ketika menceritakan kebaikan arwah ibu saudaranya, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella.

Muhammad Daiyan Aimar yang dijaga Bella sejak kecil itu menangis teresak-esak ketika ditemui pada majlis pengebumian Bella di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, di sini, petang semalam.

Anak kepada kakak arwah, Norhisham, 36, ini berkata, sepanjang kehilangan Bella yang mesra disapanya mami, dia tidak pernah berhenti berdoa semoga ibu saudaranya itu ditemui dalam keadaan selamat.

"Setiap hari saya berdoa untuk mami. Mami yang membesarkan saya sejak kecil dan dia saya anggap macam ibu kandung.

"Saya dijaga dengan penuh kasih sayang. Saya tidak dapat menahan kesedihan bila diberitahu mami sudah tiada, saya doakan semoga dosa mami diampunkan," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, anak lelaki Bella, Eusof Abdul Fatah, 4, tidak mampu berkata-kata ketika melihat jasad ibunya kebumikan.

Dia bersama adiknya, Maream Isabel, 2, dibawa ke tanah perkuburan, kelihatan terpinga-pinga seolah-olah tidak dapat menerima hakikat ibu mereka sudah tiada.

Semalam, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan membunuh Bella.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tertuduh adalah suspek utama pembunuhan itu selepas dipandu arah ke lokasi penemuan rangka Bella di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, petang Jumaat lalu.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Sabtu lalu, sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak kepada Bella.

Berita berkaitan

Kronologi kes pembunuhan Bella

Dakwaan kononnya Bella mengandung, polis tidak dapat sahkan

'Uncle' selalu pukul, marah 'mummy', kata anak Bella

Polis nafi siasat sambil lewa kes Bella

Cemburu, sakit hati punca pembunuhan Bella

'Saya boleh agak apa berlaku terhadapnya' - Rakan Bella

'Pembunuh, pembunuh!'

Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Bella atau bukan? Identiti masih misteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 1:24 PM