ZAHARI Mohd Reba. FOTO Azizah Mokhtar
ZAHARI Mohd Reba. FOTO Azizah Mokhtar
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: "Apabila masuk pintu rumah, dia akan cari saya dulu dan cium saya. Begitu akrabnya dia dengan saya, itu yang sukar saya lupakan dan rasa sedih," kata Zahari Mohd Reba.

Zahari, 55, adalah datuk kepada kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia akibat dibunuh di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada Rabu lalu.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu cucu sulungnya itu pada 2 Disember lalu sebelum Zayn Rayyan sekeluarga bertolak ke Skudai, Johor untuk menghantar salah seorang ahli keluarga yang menyambung pengajian di sebuah universiti awam.

"Ketika itu saya dah perasan perubahan sikap cucu yang suka mengamuk dan menjadi lebih agresif.

"Menurut anak lelaki saya iaitu bapa Zayn Rayyan, memang dia sudah menunjukkan perubahan sikap sejak tiga bulan lalu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Dia hadir bersama isteri dan beberapa anaknya bagi melihat semula lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan.

Bapa arwah, Zaim Ikhwan bersama isteri, Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 28 tahun turut hadir ke lokasi bagi bertemu pegawai polis namun enggan ditemubual pemberita.

Ditanya mengenai keadaan ibu bapa arwah Zayn Rayyan ketika ini, Zahari berkata, mereka lebih banyak termenung dan ada kalanya menangis.

Katanya, seluruh keluarganya turut terkesan dengan kejadian menimpa kanak-kanak itu kerana mereka terlalu rapat dan menyayangi Zayn Rayyan yang disifatkan sebagai anak yang baik serta manja.

Meskipun ujian ini berat, katanya, mereka reda dan menerima ketentuan Ilahi dan sentiasa mengaji al-Quran bagi menenangkan jiwa serta fikiran.

Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:49 PM